15/04/2011
SHAH ALAM 15 APRIL: Menjelang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal berlangsung kurang daripada 24 jam, terdapat laporan wujudnya cubaan menakut-nakutkan pengundi di DUN Bengoh semalam, menurut Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel).
Penyelaras Mafrel Sarawak, Wan Zin Mahdzar yang dihubungi Tv Selangor berkata khabar angin yang menyatakan kemungkinan berlaku pergaduhan pada hari mengundi esok mengakibatkan masyarakat majoriti Bidayuh di kawasan itu khuatir akan keselamatan mereka.
Walaubagaimana pun Wan Zin berkata, pihaknya tidak dapat mengesan dari mana datangnya sumber maklumat palsu tersebut.
"Ada usaha untuk menakut-nakutkan supaya pengundi tidak turun mengundi kerana dikatakan mungkin akan tercetus pergaduhan daripada pihak yang bertanding. Tapi dari mana mesej itu datang kita tidak pasti samada dari parti lawan atau pemerintah. Tapi usaha itu memang ada," jelas beliau.
Wan Zin menambah, Mafrel telah memohon kerjasama daripada polis bagi memantau sebarang usaha pihak tidak bertanggungjawab untuk mencemar proses pilihan raya esok.
"Kita beri nasihat supaya jangan takut untuk keluar mengundi. Gunakan hak mengundi untuk memilih sesiapa dan jangan sesekali menerima ugutan dan takut kepada intimidasi dan sebagainya. Itu yang kita buat," ujar beliau lagi.
Kerusi DUN Bengoh bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara penyandangnya Dr. Jerip Susil dari BN, Willie Mongin (PKR), Richard @Peter Margaret (SNAP), dan Wejok Tomik (Bebas).
Seramai 21,995 orang pengundi berdaftar di DUN Bengoh, terdiri daripada Bidayuh (66.24%), Cina (26.35%), Melanau (6.61%), Iban (0.1%) dan lain-lain (0.69%).
Pada PRN Sarawak yang lalu, penyandang Jerip Susil memperolehi 7,540 undi, menewaskan calon SNAP Mangan anak Ngandok dengan majoriti 3,988 undi.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka dapat menawan kawasan itu pada piilihan raya kali ini berikutan janji-janji yang tidak dapat ditunaikan sebelum ini oleh parti BN.
Dalam pada itu, Wan Zin turut mengulas kejadian membakar poster selain rakyat disajikan ungkapan kurang sopan sepanjang sepuluh hari kempen di Sarawak kali ini.
Gentar akan sokongan luar biasa pada sesi ceramah Pakatan Rakyat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng di Kuching semalam, Wan Zin melaporkan pihak BN cuba untuk menggangu tumpuan pengunjung apabila menganjurkan ceramah tanpa permit berdekatan lokasi itu.
Seterusnya pihak Mafrel mengambil tindakan melaporkan kepada polis dan ceramah haram itu berjaya dihalang.
"Semalam pihak Pakatan ada membuat satu ceramah dan hampir lapan ribu penyokong datang untuk mendengar Anwar dan Lim Guan Eng berucap. Tiba-tiba di tempat yang sama, mereka (BN) buat juga ceramah berdekatan. Jadi kita bertindak memohon supaya polis menghalang pihak itu membuat ceramah kerana tidak ada permit," katanya lagi.
Wan Zin berkata, Mafrel telah menempatkan ahli-ahli pemantau di seluruh kawasan untuk memastikan hak pengundi tidak dicabuli mana-mana pihak justeru akan terus memantau proses kempen pilihan raya yang berbaki kurang daripada 24 jam.
970,000 pemilih layak mengundi dijangka akan menunaikan tanggungjawab pada PRN Sarawak yang akan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang esok melibatkan 71 buah kerusi yang bakal menjadi rebutan.
BN berhadapan dengan saingan sengit pada pilihan raya negeri kali ini dengan kesemua kerusi ditentang oleh calon Pakatan dan parti lain.
Kempen BN bertambah sukar apabila Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud turut terpalit dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.
Sementara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi esok akan mencecah 75 peratus.
Peratusan paling tinggi disaksikan ketika pilihan raya negeri yang pertama pada 1969 iaitu 74.1 peratus.
Pada pilihan raya negeri 2006, peratusan keluar mengundi hanya 63.2 peratus.