DUN Sarawak: 300,000 pengundi muda penentu perubahan?
KUALA LUMPUR, 15 April — Angkatan Muda PKR yakin generasi muda Sarawak yang dianggarkan 300 000 orang, yang telah berdaftar sebagai pengundi, bakal menjadi penentu perubahan di Sarawak pada hari pengundian pilihan raya negeri ke-10 esok.
Sarawak mempunyai lebih 970,000 pemilih yang layak mengundi pada pilihan raya negeri kali ini.
Penolong Setiausaha Angkatan Muda PKR, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, generasi muda Sarawak yang berhadapan dengan pelbagai belenggu dan isu hanya akan dapat diselesaikan melalui proses demokrasi, pemilihan tampuk kepimpinan negeri.
“Masalah pendidikan dan peluang pekerjaan menjadi masalah utama kepada generasi muda ini,” katanya.
Saifullah berkata, kemudahan asas sekolah berada dalam keadaan uzur dan tidak mencukupi untuk proses pengajaran dan pembelajaran terutama di kawasan pinggir bandar dan luar bandar di Sarawak.
“Faktor ini akhirnya menyebabkan keciciran di kalangan pelajar tinggi di Sarawak,” katanya beliau dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, bagi golongan muda yang ingin menyambung pengajian tinggi terpaksa merantau ke Semenanjung kerana kekurangan tempat untuk menyambung pengajian di Sarawak selain Universiti Malaysia Sarawak dan UiTM.
“Masalah kedua yang menjadi isu penting kepada golongan muda di Sarawak adalah masalah pekerjaan. Seramai 200,000 direkodkan berhijrah ke Semenanjung terutama di Johor Baru, Lembah Klang dan Singapura kerana masalah pengangguran yang tinggi,” kata beliau.
Katanya, 200,000 orang di kalangan mereka yang terpaksa merantau keluar Sarawak ini terdiri daripada golongan muda yang sukar mendapat pekerjaan.
“Ditambah lagi kerana keciciran pendidikan dan politik sempit Barisan Nasional membuatkan generasi muda ini sukar mendapat tempat dalam pekerjaan.
“Jika mendapat pekerjaan sekalipun, 48 peratus daripada golongan pekerja rakyat Sarawak adalah berpendapatan RM750 dan ke bawah,” kata beliau lagi.
Jelas Saifullah, desakan sara hidup yang tinggi, maka adalah mustahil untuk generasi muda dapat hidup dengan hanya bergaji seperti ini.
Malah katanya, generasi muda Sarawak telah matang dalam menilai sosiopolitik masyarakat di Sarawak.
“Penyelesaian kepada permasalahan yang membelengu generasi muda hanya dapat diatasi jika generasi mudanya berani melakukan perubahan.
“Perubahan politik tidak bermaksud merebut jawatan atau kerusi semata-mata, tetapi perubahan secara politik bakal menentukan dasar negeri Sarawak bagi menjamin masa depan generasi muda sebagai pewaris negara,” kata beliau lagi.
Pakatan Rakyat memberi jaminan dalam manifesto pilihan raya negeri dan buku jingga untuk melakukan pembaikan tatakelola pentadbiran negeri.
“Kekayaan negeri akan diagihkan kepada rakyat. Hasil negeri adalah milik rakyat. Undi generasi muda seramai 300,000 orang ini kepada Pakatan Rakyat bererti undi untuk masa depan yang lebih cerah,” katanya.