Menurut Anwar, walaupun gagal menafikan dua pertiga majoriti Kerajaan Barisan Nasional namun prestasi dan semangat yang ditunjukkan Pakatan Rakyat bukan sahaja mampu memberi tentangan kepada parti itu malah telah meniup semangat kebangkitan rakyat di negeri 'Bumi Kenyalang' ini.
"Saya tetap akan mengucapkan tahniah diatas kejayaan Pakatan Rakyat dalam menambah kerusi pada PRN Sarawak lalu kerana semangat juang yang ditunjukkan amat membanggakan dan sangat luar biasa. Kita juga telah mengubah senario politik Sarawak, dimana BN menang dengan segala masalah tanpa menunjukan satu keghairahan kerana mereka sedar dengan kelemahan dan kecurangan yang berlaku pada PRN tempoh hari," kata Anwar dalam satu majlis perjumpaan Pemimpin-pemimpin PKR Sarawak di Dewan Ruai Berlian, Menara Grand, Kuching petang tadi.
Dalam PRN lepas, PKR memenangi 3 kerusi di Krian, Ba'kelalan dan Batu Lintang, DAP 12 kerusi manakala PAS gagal memenangi sebarang kerusi.
Bagaimanapun Pakatan Rakyat berjaya mendapat sokongan undi popular lebih 45 peratus dari rakyat Sarawak dan menguburkan Parti Komponen BN kedua terbesar negeri itu, SUPP.
Menurut Anwar, kehadiran pemimpin-pemimpin di Sarawak hari ini membuktikan semangat perjuangan yang harus dikekalkan sebagai satu pasukan dalam mendepani pilihanraya Umum akan datang.
"Kita hadir dalam pertemuan ini dengan tekad iaitu membina kekuatan kita untuk melihat kedepan dengan mempertahankan prinsip-prinsip yang kita bawa untuk mempersiapkan jentera maju menghadapi pilihanraya umum ke-13 nanti."
Majlis dihadiri lebih 100 Ahli Dewan Undangan Negeri Parti Keadilan Rakyat, Pimpinan Pusat dan Ketua Cabang serata negeri Sarawak.
Turut hadir, ialah ADUN PKR yang baru memenangi kerusi PRN lepas iaitu Baru Bian, See Chee How, dan Ali Ak Biju.
Tambah Anwar, beliau turut mengesa pemimpin Parti Keadilan Rakyat agar mengekalkan semangat berpasukan dan menyelesaikan permasalahan yang ada secara aman dan bukannya di luar ruang bincang Pakatan Rakyat
"Parti Keadilan, saya nasihatkan pimpinan agar menghormati semangat dalam Pakatan, tidak membuat tuntutan diluar yang menyinggung kawan-kawan dalam pakatan , jadi kami, PKR, DAP dan PAS adalah gagasan, jadi kita tidak perlu buat tuntutan diluar forum," katanya
"Tentunya menerusi forum yang baik agar memberi mesej yang baik, jadi kalau melatah diluar dengan buat tuntutan yang agak kasar dengan menyinggung gagasan yang lain itu tidak memberi mesej yang baik, dalam pilihanraya, kawasan yang ditandingi PKR dibantu oleh DAP dan PAS, kawasan DAP saya pun turun kempen, PAS, DAP dan keadilan turut kempen, jadi kami bergerak dalam satu pasukan," tambah Anwar.