Mengapa polis cekap susah dakwa trio Umno?

Mengapa polis cekap susah dakwa trio Umno?
Harakahdaily

KUANTAN, 24 April: Siasatan siap, dihantar ke pejabat Peguam Negara, kena tendang, sudah lengkapkan siasatan dan hantar semula, pejabat Peguam Negara tendang lagi dan kini tetiba polis meminta lebih banyak masa untuk melengkapkan siasatan berhubung video lucah yang didakwa melibatkan mirip seorang pemimpin pembangkang.

“Polis Malaysia yang terkenal dengan kecekapannya, apa yang payah sangat untuk dakwa pemilik video dan orang yang menayang klip video lucah kepada orang awam? Kan ini terang-bederang sudah bercanggah dengan akta yang ada?” sindir Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar menyatakan polis memerlukan lebih masa untuk menjalankan siasatan berhubung rakaman video seks yang didedahkan trio Umno Datuk T, yang diketuai bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik setelah Pejabat Peguam Negara mengarahkan polis untuk menyemak dan menambah maklumat berhubung kertas siasatran rakaman aksi tersebut untuk kali keduanya.

"Berilah masa kepada polis untuk meneruskan siasatan serta tidak perlulah polis mendedahkan apa yang mereka lakukan dalam siasatan itu dari sehari ke sehari.

"Kita jalankan kerja kita dan apa juga keputusannya kemudian akan diumumkan kalau bukan kita pihak Peguam Negara akan umumkan,” kata Khalid yang dipetik Bernama.

Khalid, bagaimanapun enggan mendedahkan bahagian mana dalam siasatan tersebut yang ditegur Pejabat Peguam Negara. Jika selepas ini polis menghantar lagi kertas siasatan kepada Peguam Negara, ini adalah kali ketiga perkara ini dilakukan.

Berikut ialah kronologi ‘pengisytiharan’ polis mengenai siasatan video seks melalui media tradisional Umno Barisan Nasional:

11 April: Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata identiti pemilik jam tangan jenama Omega yang diserahkan kepada polis berhubung kes rakaman video aksi seks didakwa melibatkan pelaku dilaporkan mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diketahui tidak lama lagi.

Polis telah menyerahkan kad pendaftaran jam itu kepada syarikat yang mengedarnya bagi tujuan pengesahan siapa pemiliknya.

14 April: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah memperolehi bukti-bukti ‘kukuh’ yang mencukupi untuk mengenalpasti individu yang dikaitkan dalam video seks.

“Kami sudah mengambil kenyataan dari semua orang yang boleh membantu dalam siasatan kes ini, termasuk wanita dalam video,” Ismail dipetik berkata oleh The Star.

15 April: Acryl berkata polis percaya wanita dalam rakaman video seks itu adalah rakyat China dan menafikan laporan akhbar yang memetik Ismail sebagai berkata polis telah mengambil keterangan wanita dalam video itu.

Setakat ini maklumat kita mempercayai wanita (dalam) video itu sebagai warga China tetapi belum disahkan secara pasti dan setakat ini tiada perkembangan yang sensasi," katanya kepada Bernama menerusi SMS.

18 April: Acryl berkata “kemungkinan” Datuk T akan didakwa berikutan siasatan mengikut Sekyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah itu menjurus kepada mereka, pihak yang menayangkan video.

Jam Omega, katanya, bukan merupakan satu isu (dalam melengkapkan siasatan), apa yang penting dalam siasatan kita (Seksyen 292) adalah siapa penayang video itu.

April 20: Pejabat Peguam Negara mengarahkan polis membuat semakan serta penambahan maklumat berhubung kertas siasatan rakaman aksi seks yang pelakunya didakwa mirip seorang pemimpin parti pembangkang.

“Saya telah berikan polis arahan supaya menyiasat lanjut. Kita tidak memberikan mereka sebarang tempoh masa untuk melengkapkan siasatan.

"Ini kali kedua kertas siasatan dipulangkan kepada polis,” kata Ketua pendakwa Pejabat Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

April 21: Berita Harian pada tajuk utamanya hari ini memetik sumber sebagai berkata sebuah agensi penyiaran terkemuka Korea Selatan yang menganalisis rakaman video seks mendapati pelaku dalam rakaman itu sepadan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

April 23: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata, “Berilah masa kepada polis untuk meneruskan siasatan serta tidak perlulah polis mendedahkan apa yang mereka lakukan dalam siasatan itu dari sehari ke sehari.”

“Kenyataan pihak polis bahawa mereka telah siap dan telah serah kepada pihak pnguam negara, dan media telahpun mengambarkan bahawa Datuk T trio Umno akan didakwa; tiba-tiba kini polis memerlukan masa lagi untuk lengkapkan siasatan.

"Apakah ada motif lain sehingga ianya mengambil masa yang sangat lama? Apapun rakyat akan terus menilai setiap perkara,” kata Tuan Ibrahim sebagai respon kepada perkembangan kenyataan polis yang semakin tidak menentu dan kelewatan siasatan yand didakwanya akan mendedahkan mangsa kepada pelbagai keaiban yang dimanipulasikan oleh media tradisional Umno Barisan Nasional.

Topik video seks yang didakwa membabitkan Anwar telah menjadi topik hangat media tradisional Umno Barisan Nasional sejurus selepas video berkenaan dipertontonkan kepada beberapa wartawan terpilih oleh satu kumpulan trio Umno dikenali sebagai 'Datuk T' di Carcosa Seri Negara pada 21 Mac yang lalu.