Kemuncaknya, semalam pada jam 3 petang, mereka berkumpul dan melaungkan slogan "1Malaysia" dan berarak sekitar kawasan berkenaan. Habuannya, selain wang tunai, mereka juga dibekalkan dengan sebuah beg yang mengandungi beberapa tin susu serta Milo.
Selain itu, mereka juga menikmati jamuan makan malam yang disediakan oleh pihak penganjur yang menamakan diri mereka sebagai 'NGO 1Malaysia' yang ditugaskan menyebarkan kempen perpaduan kerajaan, tetapi menafikan mereka berkempen untuk mana-mana parti politik.
"Antara 1,000 hingga 2,000 orang tiba untuk mendaftar (untuk majlis perakan itu). Ada juga yang bukan penduduk tempatan tetapi orang luar. Pihak penganjur hanya minta nama dan beberapa butiran lain,” kata seorang penduduk yang turut mengambil bahagian selepas jamuan makan malam berkenaan.
Pengerusi Dewan Penyokong PAS Gua Musang, Hua Pang Chow, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata dia dimaklumkan mengenainya oleh penduduk tempatan.
"Malah, saya alu-alukan penduduk supaya pergi dan ambil wang serta barangan. Yang penting, kita tetap undi PAS,” katanya.