DAP hari ini mencabar akhbar Utusan Malaysia supaya bersifat bertanggungjawab dan menyahut tawaran debat berhubung dakwaan parti pembangkang itu sebuah pertubuhan yang rasis.
'Awang Selamat dalam pojoknya menulis: “Ancaman DAP adalah jauh lebih berbahaya daripada apa-apa ancaman sekalipun yang pernah dihadapi dalam sejarah tanah air. Cuma bentuk penjajahan mereka lebih halus, berselindung atas slogan demokrasi dan tanpa menggunakan senjata. Tetapi implikasinya amat besar.
“Perlembagaan termasuk kedudukan Islam dan institusi beraja menjadi taruhan, yang akhirnya membawa Malaysia menuju negara republik. Apakah itu yang kita mahu?”
Pua membalas dan menganggap serangan itu sebagai “melampau' dan “keterlaluan”.
“Editor dan pemiliknya tidak harus bersembunyi di belakang nama pena dan melemparkan tuduhan tanpa asas, (bertindak) sebagai penembak curi,” katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.
Sambil menyifatkan akhbar itu sebagai “pengecut”, Pua mencabar mereka menyahut cabarannya “jika mereka sebenarnya mempertahankan bangsa Melayu”.