Sah! Sudah ada pimpinan Umno sertai Pakatan Rakyat




Harakahdaily 11:56:29 am MYT

KEMAMAN, 2 Nov (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengesahkan, sudah ada pemimpin Umno yang menyertai Pakatan Rakyat.
Iklan



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usaha Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan di peringkat Pusat sebagaimana yang diuar-uarkan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) sebelum ini.

"Kita sedang tunggu perubahan ahli-ahli parlimen Umno dan Barisan Nasional yang lain, tidak mustahil ia (perubahan kerajaan peringkat pusat) akan berlaku,
"walaupun sukar, tidak mustahil ia berlaku dengan perpecahan yang berlaku kepada Umno sekarang,"kata beliau dalam sidang media yang diadakan selepas beliau merasmikan Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu Kali Ke-12 yang diadakan di Dewan Dato' Seri Amar DiRaja, Chukai, dekat sini semalam.

Buletinonline melaporkan, Ustaz Hadi berkata, perubahan kerajaan pernah berlaku dalam (keputusan pilihan raya) tahun 1990 ekoran perpecahan yang berlaku dalam Umno akhir tahun 1980-an dan telah berlaku perubahan (dalam pilihan raya) tahun 1999 kerana masalah yang sama berlaku dalam Umno.

"Sebagaimana perubahan boleh berlaku pada akhir tahun 80an bila Tengku Razaleigh keluar dari Umno, dan berlaku lagi pada 1999 bila Anwar dipecat (dari Umno).
"Dan boleh berlaku lagi dengan pergolakan (dalam Umno) yang berlaku sekarang, bahkan Musa Hitam berkata Umno sudah dihinggapi penyakit tua,"tegas beliau yang masih yakin perubahan boleh berlaku dan Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan pusat.

Bagaimanapun apabila diminta untuk mendedahkan siapakah pemimpin Umno yang telah menyertai Pakatan Rakyat, beliau menjawab "bila tiba masanya" beliau akan mendedahkannya.

No comments: