HANNAH PERJELAS ISU CUKAI

Pengurangan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada anggaran RM4.67 juta kepada hanya RM1,000 dibuat berdasarkan perubahan status tanah berkenaan daripada komersial kepada kegunaan institusi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menjelaskan, bangunan KLSCAH telah diwartakan sebagai bangunan warisan sejak awal 2007. Status tersebut menyebabkan tanah berkenaan tidak lagi mempunyai nilai komersial dan tidak boleh dibangunkan untuk projek seperti kondominium atau pusat beli-belah.

Sebaliknya, penggunaannya terhad kepada tujuan institusi dan pemeliharaan warisan.

Menurut Hannah, ketika permohonan pembaharuan pajakan dikemukakan, tempoh pajakan tanah itu hanya berbaki lapan tahun. Pihak pengurusan KLSCAH kemudian mengemukakan rayuan supaya kerajaan mempertimbangkan pengurangan premium berdasarkan status warisan bangunan tersebut.

“Tempoh pajakan tanah masih berbaki lapan tahun ketika pihak pengurusan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pertimbangan kerajaan memandangkan bangunan itu berstatus warisan.

“Memandangkan KLSCAH adalah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang mempunyai sejarah panjang, pihak pengurusan mengemukakan rayuan bagi mendapatkan pengurangan premium pajakan.

“Berdasarkan pertimbangan itu, jawatankuasa penilaian bersetuju mengurangkan premium pajakan kepada RM1,000, mengambil kira sekatan penggunaan tanah berkenaan yang hanya dibenarkan bagi tujuan institusi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (Wilayah Persekutuan), hari ini.

Untuk rekod, kerajaan pada 14 November lalu meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH bagi tempoh 99 tahun dengan premium nominal RM1,000, berbanding anggaran asal sekitar RM4.67 juta.

Kelulusan itu diumumkan ketika majlis makan malam sempena ulang tahun KLSCAH yang ke-103.

Sebelum itu, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan telah meluluskan penyerahan dan pemberian milik semula tanah berkenaan untuk kegunaan institusi pada 14 September lalu. Kadar sewa tahunan tanah pula ditetapkan sebanyak RM3,151.

Keputusan tersebut turut menyusuli komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini menyatakan kesediaan memberikan pertimbangan khas terhadap usaha memelihara bangunan bersejarah berkenaan selepas mengunjungi KLSCAH sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Februari lalu.

Sumber: Utusan Malaysia

#KLSCAH #HannahYeoh #KerajaanMadani #MenteriWilayahPersekutuan

No comments: