Tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang mahu mendapatkan perkenan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 26 November depan menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar kerajaan negeri berhubung kemelut takhta yang masih berlarutan.
Peguam dan pemerhati politik, Liyana Marzuki mempersoalkan bagaimana Ismail boleh memohon perkenan Tuanku Muhriz sedangkan kerajaan negeri sebelum ini sudah membuat keputusan mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Menurutnya, tindakan kerajaan negeri itu semakin sukar dijelaskan apabila Menteri Besar kini dikatakan mahu menghadap Tuanku Muhriz, sedangkan surat rasmi kepada Majlis Raja-Raja sebelum ini membawa pendirian bahawa baginda sudah diturunkan daripada takhta.
Liyana berkata, perkembangan itu memperlihatkan realiti politik yang perlu dihadapi Umno Negeri Sembilan selepas beberapa keputusan berkaitan kemelut institusi diraja mencetuskan persoalan dari sudut perlembagaan dan pentadbiran.
Dalam kenyataannya, beliau turut membangkitkan kejanggalan apabila kerajaan negeri sebelum ini bukan sahaja mengiktiraf Yamtuan baharu, malah mengutuskan surat kepada Majlis Raja-Raja bagi memaklumkan keputusan berkenaan.
Katanya, tindakan paling wajar ketika ini ialah menarik balik surat tersebut terlebih dahulu bagi menyelesaikan kekeliruan mengenai pendirian rasmi kerajaan negeri.
“Janggal untuk Yamtuan bagi perkenan, kalau yang minta perkenan pun tak iktiraf dia Raja di N9,” katanya.
Persoalan itu timbul selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 15 September lalu membuat keputusan mengiktiraf proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz dan pemilihan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini berpandangan proklamasi berkenaan tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Pentadbiran negeri juga tidak meneruskan pewartaan atau pelaksanaan proklamasi itu berdasarkan nasihat berkenaan.
Lebih menarik, Ismail kini mengesahkan kerajaan negeri sedang mendapatkan perkenan Tuanku Muhriz bagi membolehkan sidang DUN berlangsung selama lima hari bermula 26 November, diikuti pembentangan Belanjawan Negeri 2027 pada 27 November.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada kerajaan negeri perlu terlebih dahulu menyelaraskan pendiriannya berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar sebelum urusan pentadbiran penting dapat diteruskan.
Liyana menyifatkan keadaan itu sebagai realiti politik yang perlu dihadapi kepimpinan Umno Negeri Sembilan, khususnya apabila keputusan yang dibuat sebelum ini kini memberi kesan kepada hubungan kerajaan negeri dengan institusi diraja.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam kemelut melibatkan institusi beraja dan adat Negeri Sembilan, tindakan politik yang tidak mengambil kira kedudukan perlembagaan boleh menyebabkan keadaan menjadi semakin rumit.
“Enggang tu terbang di kayangan. Kita yang pipit ni kalau dah salah masuk laluan, janganlah kuat sangat melawan,” katanya.
Kenyataan Liyana itu sekali lagi mengangkat persoalan utama dalam kemelut Negeri Sembilan: bagaimana kerajaan negeri mahu meneruskan pentadbiran dan mendapatkan perkenan diraja bagi urusan rasmi sedangkan pendirian yang pernah dizahirkannya mengenai kedudukan Tuanku Muhriz masih belum diselesaikan?

No comments:
Post a Comment