‘Anak-beranak campur ni apa hal?’, netizen ungkit kembali kata-kata Zahid selepas anaknya bersuara

 




Tindakan anak Presiden Umno, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mempertikaikan desakan supaya bapanya meletakkan jawatan mengundang pelbagai reaksi netizen.

Menerusi hantaran di Facebook, Nurulhidayah mempersoalkan mengapa presiden partinya didesak meletakkan jawatan sedangkan menurutnya, parti lain yang gagal menunjukkan prestasi dalam tiga pilihan raya negeri (PRN).

“Yang tak perform tiga kali PRN parti lain, tapi Presiden parti kami (Umno) yang kena letak jawatan.

“Pasai paa? Pelik-pelik sungguh keinginan hangpa,” tulis Exco Wanita Umno berkenaan.

Bagaimanapun, kenyataan itu mendapat respons netizen yang membangkitkan kembali kata-kata yang dikaitkan dengan bapanya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengenai campur tangan anak-beranak dalam urusan politik.

Seorang pempengaruh, Jason Yew turut mempersoalkan mengapa ruangan komen hantaran berkenaan ditutup.

“Buat status, lepas tu tutup komen. Banyak cantik ya!” perlinya.

Jason turut mengungkit kenyataan yang pernah diucapkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkenaan, iaitu ‘Anak-beranak campur ni apa hal?’

“Sekarang, janganlah terkejut kalau orang ungkit balik kata-kata sendiri,” katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Rfhan Affan turut memberikan respons dengan mengulangi sindiran hampir sama.

“Anak masuk campur apa hal,” tulisnya disertai emoji ketawa.

Sementara itu, Ahmad Basir membangkitkan soal kedudukan dan kekuatan politik Nurulhidayah secara peribadi.

“Dia ni MP mana, masuk PRU pun tak pernah, hanya tumpang nama bapak saja, tiada kekuatan politik sendiri,” tulisnya.

Minggu lalu, Zahid membidas tindakan anak Datuk Ismail Lasim mencampuri isu Menteri Besar Negeri Sembilan susulan kenyataan yang dikeluarkan.

Zahid berkata, isu berkenaan sepatutnya dilihat perkara membabitkan pentadbiran negeri dan bukannya dikaitkan dengan hubungan antara bapa dan anak.

“Itu jadi masalah! Ini isu pentadbiran negeri, anak beranak campur ni apa hal?

“Ini soal Menteri Besar, bukan soal bapanya Ismail Lassim,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi.






No comments: