
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hadir pada Majlis Perasmian Pusat Pemeriksaan M.V.15 CARSOME Academy di Sungai Buloh pada 14 September 2026. Foto Carsome Malaysia
SUNGAI BULOH, 14 Sep – Kenyataan agresif pihak tertentu dalam parti komponen Kerajaan MADANI yang dilihat tidak sehaluan dengan Kerajaan Perpaduan, dikhuatiri menjejaskan kestabilan politik negara, keyakinan pelabur dan orang ramai.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkembangan itu dipandang serius Pakatan Harapan (PH), khususnya susulan cabaran Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi supaya parti itu dikeluarkan daripada kerajaan.
Dakwaan bahawa Umno mampu mentadbir negara dengan lebih baik berbanding Perdana Menteri turut menimbulkan persoalan mengenai kesepakatan parti-parti komponen dalam kerajaan yang meresahkan rakyat akar umbi.

“Beberapa kenyataan yang dibuat sudah tentu tidak baik dari segi kepastian politik dan kestabilan politik di negara ini.
“Parti-parti komponen dalam kerajaan nampaknya tidak menuju ke arah yang sama. Ini sesuatu yang tidak memberi keyakinan kepada pelabur dan orang ramai.
“Justeru, ini perkara yang saya fikir Perdana Menteri mesti jelaskan kepada semua parti komponen,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pusat Pemeriksaan M.V.15 CARSOME Academy di Sungai Buloh, hari ini.

Anthony berkata, beliau akan mencadangkan supaya satu mesyuarat khas PH diadakan sebaik sahaja Perdana Menteri selesai dari lawatan rasmi ke luar negara bagi membincangkan perkembangan politik terkini.
“Sudah tentu kami memandang semua perkembangan ini dengan serius.
“Saya pasti akan meminta Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dalam PH untuk meneliti dan membincangkan perkembangan terkini ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment