Wajarkah seorang non-muslim campur tangan (interfere) dalam urusan terkait rukun Islam yang ke-5 dengan membawa naratif sebegini?
Apa pendapat anda?
"Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".
(Terjemahan Surah Al-Kafirun, ayat 6)
Perbandingan mengenai dasar bantuan haji kembali dimainkan apabila Eric See-To menggambarkan pendekatan hari ini sebagai “kalau belum mampu, jangan naik haji dulu”, manakala zaman BN pula kononnya membantu sehingga seseorang mampu menunaikan haji.
Masalahnya, soal kemampuan atau istita’ah bukan syarat yang dicipta oleh PH atau kerajaan hari ini.
Ia memang salah satu asas kewajipan haji dalam Islam.
Allah SWT menetapkan dalam Surah Ali ‘Imran ayat 97 bahawa ibadah haji diwajibkan kepada mereka yang mampu mengadakan perjalanan ke Baitullah.
Maknanya, kalau seseorang belum mempunyai kemampuan kewangan yang mencukupi, kewajipan hajinya belum jatuh ke atasnya sehingga syarat kemampuan itu dipenuhi.
Kerajaan tentunya boleh membantu jemaah melalui subsidi atau bantuan kewangan. Itu satu dasar yang boleh dibincang dan dipertimbangkan berdasarkan kemampuan negara serta kedudukan kewangan Tabung Haji.
Tetapi masalah timbul apabila bantuan yang besar diberikan dalam keadaan kedudukan kewangan institusi itu sendiri tidak digambarkan dengan tepat.
RCI Tabung Haji mendedahkan bahawa bagi tahun kewangan 2017, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih kira-kira RM1.4 bilion sekiranya MFRS diguna pakai sepenuhnya, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan ketika itu.
RCI turut mendapati TH tidak sepatutnya mengisytiharkan hibah keseluruhan RM2.75 bilion bagi 2017 dan menyatakan pembayaran hibah tinggi antara 2014 hingga 2017 telah melampaui kemampuan kewangan institusi itu. Suruhanjaya turut menyebut penggunaan amalan perakaunan kreatif dalam membolehkan pengisytiharan hibah tinggi tersebut.
Laporan itu juga menyenaraikan peningkatan tanggungan Bantuan Kewangan Haji sebagai antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan TH ketika itu.
Jadi jangan mudah romantikkan zaman dahulu seolah-olah lebih banyak subsidi secara automatik bermaksud lebih baik.
Kalau institusi benar-benar untung dan mampu, membantu jemaah itu bagus.
Tetapi kalau atas kertas disebut untung sedangkan kedudukan sebenar menurut RCI sepatutnya rugi, kemudian bantuan dan agihan tetap dibuat melebihi kemampuan, itu bukan model yang patut dibanggakan.
Dan untuk berlaku tepat, dapatan RCI mengenai “creative accounting” tidak dengan sendirinya membuktikan wujud penipuan jenayah; soal kesalahan jenayah memerlukan siasatan dan pembuktian berasingan. Tetapi dari sudut tadbir urus, pendedahan itu cukup serius.
Jadi bab haji ini ada dua perkara yang jangan dicampur-adukkan.
Pertama, Islam sendiri mensyaratkan kemampuan.
Kedua, bantuan kepada jemaah mestilah datang daripada institusi yang diurus secara mampan dan jujur tentang kedudukan kewangannya.
Nak kritik kerajaan hari ini, silakan.
Tapi jangan sampai orang bukan Islam pula sibuk mahu mengajar umat Islam tentang syarat wajib haji, sambil zaman yang dipuji itu pula kini terdedah melalui RCI mempunyai masalah kewangan yang jauh lebih besar daripada apa yang pernah digambarkan kepada pendeposit.
#unofficialinfo

No comments:
Post a Comment