~Lim Guan eng mintak 1 billion ringgit dari Anwar Ibrahim..hurmm..
~Saya telah menyerahkan sendiri sepucuk surat permohonan kepada Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, bagi memohon agar lima projek pembangunan bernilai hampir RM1 bilion, serta cadangan mewujudkan Zon Kewangan Khas (ZKK) di Ampang Jajar, dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam Belanjawan Persekutuan yang akan datang.
Saya mengemukakan cadangan tersebut ketika mengadakan pertemuan dengan YAB Perdana Menteri pada 20 Julai. Saya berharap beliau dapat mempertimbangkannya dengan sewajarnya agar projek-projek ini dapat diluluskan demi merealisasikan hasrat menjadikan Butterworth sebagai bandar raya antarabangsa kedua di Pulau Pinang, sekali gus meningkatkan daya saing kawasan ini dan wilayah utara secara keseluruhannya.
Dalam pertemuan tersebut, YAB Perdana Menteri turut menyatakan bahawa pembangunan wilayah utara perlu terus diberi perhatian dan beliau berpandangan positif terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan. Walau bagaimanapun, projek-projek yang akan diluluskan hanya akan diketahui apabila Belanjawan Persekutuan dibentangkan kelak.
Antara projek yang saya cadangkan ialah:
(A) Projek menaik taraf Jalan Persekutuan FT001 daripada dua lorong kepada empat lorong melibatkan kos RM825 juta.
(B) Pembinaan Klinik Kesihatan Butterworth yang baharu dengan anggaran kos RM130 juta.
(C) Peruntukan sebanyak RM4.405 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf Jalan Persekutuan, serta RM500,000 untuk menaik taraf jalan di belakang SJK(C) Kwang Hwa.
(D) Kelulusan penubuhan Zon Kewangan Khas (ZKK) di Ampang Jajar, melibatkan kawasan Parlimen Bagan dan Permatang Pauh.
(E) Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Kerapu bernilai RM8 juta di kawasan Parlimen Bagan, Seberang Perai Utara.
Kesemua projek ini mempunyai kepentingan strategik bukan sahaja kepada Pulau Pinang, malah kepada seluruh wilayah utara. Pelaksanaannya akan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan, memperkukuh keselamatan pengguna jalan raya, mempertingkatkan kemudahan kesihatan awam serta merancakkan pelaburan dan aktiviti ekonomi.
Daripada semua cadangan tersebut, projek yang paling penting ialah penubuhan Zon Kewangan Khas (ZKK) di Ampang Jajar. Sekiranya berjaya direalisasikan, zon ini dijangka mampu menarik pelaburan melebihi RM5 bilion dan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Butterworth untuk jangka panjang.
Pada masa ini, pelbagai projek pembangunan berskala besar yang sedang dilaksanakan dan dirancang di Butterworth dianggarkan bernilai kira-kira RM7.5 bilion. Sekiranya lima projek baharu bernilai hampir RM1 bilion ini turut diluluskan, ditambah pula dengan potensi pelaburan daripada Zon Kewangan Khas, saya yakin Butterworth akan melangkah ke satu fasa pembangunan yang baharu dan lebih pesat.
Matlamat utama saya bukan sekadar mengejar angka pelaburan atau nilai projek yang besar. Yang lebih penting ialah memastikan pembangunan ini mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, menarik pelaburan berkualiti serta membolehkan lebih ramai anak muda terus membina kerjaya dan masa depan mereka di tanah air sendiri, khususnya di Butterworth dan kawasan utara.
No comments:
Post a Comment