Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyambut positif pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Beliau berkata, pernah terlibat secara langsung bersama Kementerian Pendidikan meneroka penggubalan akta baharu bagi pendidikan tinggi ketika Dr Maszlee Malik menjadi menteri.
Pada masa sama, Zulkifli turut menghasilkan buku bertajuk Student Union: Generasi Baharu Gerakan Mahasiswa bersama tiga pemimpin pelajar, Muhammad Amin Mubarak, Wan Harith Iskandar Wan Roslan dan Idayu Mumtaz Iskandar.
Buku itu merekodkan pengalaman menubuhkan Kesatuan Pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selepas gerakan tersebut lama terkubur susulan pengenalan AUKU.
Menurutnya, buku berkenaan turut menganalisis beberapa kritikan terhadap AUKU serta mengemukakan saranan yang boleh dipertimbangkan dalam membentuk naratif baharu gerakan mahasiswa.
Menariknya, buku itu tidak dilancarkan oleh menteri atau naib canselor, sebaliknya oleh Presiden Kesatuan Pelajar UIAM sendiri.
Zulkifli menyifatkan pengumuman pemansuhan AUKU sebagai berita gembira bukan sahaja kepada mahasiswa, malah seluruh warga universiti.

No comments:
Post a Comment