Ini perkembangan terkini tentang kes Cikgu Ng Siew Hui.
#Pertama
• Cikgu Ng telah mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Tuan Haji Megat, pada Jumaat lalu.
• Menurut beliau, permohonan kenaikan pangkat DG48 telah disemak semula dan dikemukakan kepada bahagian berkaitan di KPM untuk tindakan lanjut.
• Beliau turut dimaklumkan bahawa Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, memberi perhatian terhadap isu tersebut dan meminta Pengarah JPWPKL menyampaikan salam kepada beliau.
• Cikgu Ng menghargai perhatian, tindakan susulan dan sokongan moral yang diberikan oleh pihak JPWPKL serta Menteri Pendidikan.
#Kedua
Namun apa yang saya lebih hormati ialah beliau tidak berhenti setakat isu kenaikan pangkatnya sendiri.
Beliau masih meminta supaya
• Unit Integriti KPM turun sendiri ke sekolah bagi menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan buli pentadbiran.
• Siasatan tidak hanya bergantung kepada struktur pentadbiran sedia ada yang mungkin mempunyai konflik kepentingan.
• Sebuah Jawatankuasa Siasatan Bebas di bawah Menteri Pendidikan perlu diwujudkan untuk mengendalikan kes buli dan dakwaan salah guna kuasa secara lebih bebas, adil dan telus.
• Sistem ePangkat dan penilaian kenaikan pangkat guru harus diperbaiki, khususnya apabila kuasa penilaian pihak pentadbir sekolah boleh memberi kesan besar terhadap masa depan kerjaya seseorang guru.
• Satu saluran rayuan yang telus wajar diwujudkan apabila markah prestasi seseorang guru jatuh secara mendadak dan tidak munasabah tanpa rekod amaran atau tindakan tatatertib terdahulu.
#Ketiga
Bagi saya, inilah perkara yang perlu kita beri perhatian.
Isunya bukan semata-mata sama ada seorang guru akhirnya mendapat DG48 atau tidak.
Persoalan yang lebih besar ialah
Jika benar berlaku buli pentadbiran atau penyalahgunaan kuasa, apakah mekanisme yang kita ada untuk memastikan perkara sama tidak berlaku kepada guru-guru lain?
Saya nak puji tindakan Cikgu Ng yang sehingga hari ini masih konsisten dan fokus kepada isu utama yang dibangkitkan sejak awal, iaitu dakwaan buli di tempat kerja yang dilakukan oleh pihak pentadbir.
Itu isu utamanya.
#Keempat
Walaupun sudah ada perkembangan berkaitan kenaikan pangkat dan perhatian daripada pihak atasan KPM, beliau tidak menjadikan perkara itu sebagai noktah kepada perjuangannya.
Sebab itulah saya menghormati pendirian Cikgu Ng.
Apabila ada sedikit perkembangan positif dalam kes peribadinya, beliau masih memilih untuk bercakap tentang pembaikan sistem dan perlindungan kepada guru lain.
Perjuangan ini bukan semata-mata tentang seorang Cikgu Ng.
Ia tentang memastikan selepas ini tidak ada lagi guru yang terpaksa memilih antara bersuara mempertahankan diri atau berdiam diri kerana takut masa depan kerjayanya terjejas.
Keadilan pasti akan menang.
#Kelima
Kepada Puan Timbalan Pengarah yang sebelum ini mengatakan bahawa ada “plot twist” dalam isu ini, saya cuma mahu berkata:
Moga Allah mengampuni segala dosa kita semua.
Kerana akhirnya, dalam apa juga kedudukan dan jawatan yang kita pegang, setiap kata-kata, keputusan dan tindakan kita tetap datang bersama tanggungjawab.
Kita mungkin berbeza pandangan tentang sesuatu kes, tetapi jangan sampai kita terlupa bahawa di sebalik fail, laporan dan prosedur itu ada manusia yang sedang mencari keadilan.
Tahniah, Cikgu Ng. Teruskan bersuara agar menjadi asbab keberanian buat guru lain.

No comments:
Post a Comment