LETAK JAWATAN ATAU BUBAR PARLIMEN
"GAGAL TIGA PRN BUKTI PENOLAKAN SOKONGAN RAKYAT"
Oleh: Roslinda Hashim
KUALA LUMPUR - Ahli politik, Isham Jalil menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan atau membubarkan Parlimen dengan segera bagi memberi laluan kepada rakyat menentukan semula mandat pemerintahan negara.
Beliau berkata, kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam tiga pilihan raya negeri (PRN), iaitu di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan kerajaan pimpinan Anwar sudah tidak lagi mendapat sokongan rakyat.
Menurutnya, keputusan pilihan raya tersebut turut memberi kesan terhadap keyakinan pelabur kerana wujud keraguan terhadap keupayaan kerajaan untuk menstabilkan politik dan ekonomi negara.
“Anwar sudah tiga kali kalah teruk dalam pilihan raya negeri, tetapi dia masih Perdana Menteri. Kesemua pilihan raya ini membuktikan rakyat tolak kerajaan Anwar dan PH.
“Ia juga membawa kesan kepada ekonomi negara. Pelabur sangsi kepada keupayaan Anwar untuk meraih mandat rakyat dan menstabilkan politik serta ekonomi,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Isham turut tegaskan Anwar tidak seharusnya terus mentadbir negara dan menguruskan dana awam selama setahun setengah lagi tanpa memperoleh sokongan dan mandat daripada rakyat.
Beliau yang merupakan ahli PAS berkata, Perdana Menteri perlu mengembalikan mandat kepada rakyat sama ada dengan meletakkan jawatan atau membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan.
https://www.kedahonline.com/2026/08/letak-jawatan-atau-bubar-parlimen.html

No comments:
Post a Comment