Hari itu timbul isu "talkin" yang dibuat oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar sempena kempen PRU Johor. Apabila PN BN Menang di Negeri Sembilan, muncul pula kenyataan Prof. Ridhuan Tee Abdullah yang membarua-baruakan penyokong Pakatan Harapan dan kembali mengangkat label harbi terhadap DAP.
Hari ini, seorang Exco Pergerakan Pemuda UMNO pula mengadakan majlis tahlil untuk Anthony Loke kerana bekas Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu kalah di tempat sendiri.
Apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada ahli politik kita?
Mengapa semakin mudah simbol-simbol agama dijadikan bahan jenaka politik?
Saya tidak bercakap tentang parti. Saya bercakap tentang satu budaya yang semakin membarah. Tak kiralah hang orang PH ka, PN ka, BN ka, atau parti-parti yang lain. Hari ini orang ini buat, esok orang lain pula balas. Seolah-olah apa sahaja yang ada kaitan dengan agama boleh dijadikan modal kempen, bahan sindiran atau gimik untuk mendapat sorakan penyokong.
Kalau beginilah keadaannya, apa lagi yang akan tinggal kepada umat Islam kita terutamanya kepada generasi yang membesar di negara ini?
Hari ini talkin dijadikan sindiran politik. Esok tahlil dijadikan bahan jenaka. Lusa, entah apa lagi yang akan dipinjam daripada agama untuk menyogok keseronokan berhari raya dengan naratif parti politik.
Yang paling menyedihkan, semua ini dilakukan oleh orang Islam sendiri. Tak usah tunggu si kafir untuk menghina agama Islam, tetapi orang islam sendiri menghina agamanya hanya untuk tontonan dan sokongan yang meriah.
Sebahagian orang dok kata DAP mengugat Islam, tapi hakikat yang berlaku hari ini - kita sendiri yang tak hormat agama sendiri.
Saya juga bukan pengamal majlis tahlil. Dalam keluarga kecil saya sendiri, kami tidak mengadakan majlis tahlil apabila berlaku kematian. Tetapi saya tahu satu perkara. Bagi sebahagian besar umat Islam di negara ini, tahlil bukan sekadar satu majlis. Ia adalah sebahagian daripada syiar dan simbol agama yang dimuliakan. Di dalamnya ada bacaan-bacaan al-Quran, doa-doa dan zikir-zikir yang baik. Begitu juga talkin. Begitu juga istilah-istilah agama yang mempunyai makna dan disiplin ilmunya yang tersendiri.
Sebab itu saya pelik sungguh. Mengapa orang yang mendakwa mahu mempertahankan agama, menjadi pejuang membela agama, merasa orang lain dah tak endahkan agama sampai ada sebahagian mempertikaikan syahadah Islam parti lawan, akhirnya menjadi orang yang paling gemar menjadikan agama sebagai prop politik?
Bukankah selama ini kita marah apabila orang lain mempermainkan agama? Bukankah selama ini kita menuntut supaya syiar Islam dihormati?
Tetapi, mengapa apabila yang mempermainkannya ialah orang yang berada dalam kem kita sendiri, tiba-tiba semuanya menjadi gurauan yang boleh ditepuk dan ditertawakan?
Saya bimbang, jika budaya ini terus dibiarkan, akhirnya masyarakat tidak lagi membezakan antara agama dengan politik. Mereka akan melihat agama sekadar pakaian yang dipakai ketika berkempen, kemudian ditanggalkan apabila selesai.
Politik mungkin mendapat sedikit keuntungan. Penyokong mungkin bersorak. Tetapi agama kehilangan kewibawaannya sedikit demi sedikit.
Dan itulah kerugian yang paling besar.
Nabi SAW bersabda:
بادِروا بالأعمالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيلِ المُظلِمِ، يُصبِحُ الرَّجُلُ مُؤمِنًا ويُمسي كافِرًا، أو يُمسي مُؤمِنًا ويُصبِحُ كافِرًا، يَبيعُ دينَه بعَرَضٍ مِنَ الدُّنيا.
"Bersegeralah melakukan amalan sebelum datang fitnah (kekacauan) seperti malam yang gelap. Seseorang pada waktu pagi beriman, petangnya menjadi kafir; petangnya beriman, paginya menjadi kafir. Dia menjual agamanya dengan sedikit habuan dunia."
Hadis ini sahih, riwayat Imam Muslim.
--
Syihabudin Ahmad.

No comments:
Post a Comment