DAP Johor menggesa Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi tampil menjelaskan keputusan kerajaan negeri menukar projek Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) kepada Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART), termasuk jumlah kos yang telah dibelanjakan untuk kajian dan perancangan projek asal.
Setiausaha Publisiti DAP Johor, Wong Bor Yang berkata, rakyat berhak mengetahui mengapa projek IMBRT yang diumumkan sejak 2017 tidak diteruskan dalam bentuk asal selepas pelbagai kajian teknikal dan perancangan dilaksanakan selama bertahun-tahun.
Menurutnya, DAP turut kesal dengan kenyataan Onn Hafiz yang dilihat cuba meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan Persekutuan berhubung kemungkinan kesesakan trafik apabila Sistem Transit Rapid (RTS) Link mula beroperasi pada 1 Januari 2027.
“Perubahan daripada IMBRT kepada E-ART merupakan keputusan baharu yang dibuat oleh kerajaan negeri selepas sebelum ini merancang untuk melaksanakan sistem Bus Rapid Transit (BRT).
“Kerajaan negeri perlu menjelaskan mengapa projek IMBRT yang diumumkan secara rasmi pada 2017 tidak dapat diteruskan dalam bentuk asal dan akhirnya distruktur semula kepada projek E-ART,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai itu berkata, ketika projek IMBRT diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerajaan Persekutuan telah menyatakan komitmen menyediakan pembiayaan sebanyak RM1 bilion, manakala baki RM1.56 bilion dirancang menerusi model kerjasama awam-swasta (PPP).
Katanya, pelbagai kajian dan perancangan kejuruteraan, operasi serta keperluan infrastruktur telah dijalankan bagi memuktamadkan pelaksanaan projek tersebut.
Bagaimanapun, selepas bertahun-tahun dirancang, projek itu tidak diteruskan sebelum kerajaan negeri memilih cadangan E-ART pada 2024.
Menurut Bor Yang, walaupun cadangan E-ART hanya dimuktamadkan pada Ogos tahun lalu, kerajaan Persekutuan masih menunjukkan kesediaan untuk mempertimbangkan dan menyokong pelaksanaannya.
Malah, katanya, pada Mei lalu kerajaan Persekutuan turut meluluskan projek bernilai lebih RM10 bilion bagi memperkukuh sistem pengangkutan dan ketersambungan di Johor.
“Justeru, adalah tidak wajar untuk kerajaan negeri cuba mengaitkan kelewatan pelaksanaan projek ini dengan Kementerian Pengangkutan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri menjelaskan jumlah sebenar perbelanjaan yang telah digunakan bagi kajian dan perancangan IMBRT, punca projek tersebut gagal dilaksanakan serta sama ada terdapat kelemahan dalam aspek perancangan dan pelaksanaan.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu bersikap telus dan jujur kepada rakyat Johor mengenai keputusan yang dibuat.
“Jangan jadikan isu kesesakan trafik sebagai alasan untuk mencari pihak lain dipersalahkan sedangkan perubahan dasar dan perancangan projek turut melibatkan keputusan kerajaan negeri Johor sendiri,” katanya.
Semalam, Onn Hafiz ketika berucap pada Majlis Pelancaran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan yang disempurnakan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook di Stesen Keretapi Kulai menggesa kerajaan Persekutuan mempercepatkan pelaksanaan projek E-ART bagi memastikan kelancaran trafik apabila RTS Link mula beroperasi awal tahun depan.
No comments:
Post a Comment