
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth pada 20 Jun 2026. Foto PMO
BUTTERWORTH, 20 Jun – Keputusan Kerajaan Turkmenistan menyerahkan penyelenggaraan telaga gas terbesar mereka kepada PETRONAS disifatkan melakar sejarah baharu dalam menjamin keselamatan bekalan tenaga jangka panjang negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, perjanjian yang diumumkan pada lawatan beliau ke negara itu akan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor tenaga global di samping menyokong komitmen bekalan jangka panjang kepada pasaran antarabangsa utama.

Beliau turut berkongsi, kejayaan luar biasa itu dicapai hasil rundingan ‘hati ke hati’ beliau bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov, susulan lawatan rasmi pemimpin berkenaan ke Malaysia pada 2024.
Anwar menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian luar biasa kerana meletakkan PETRONAS dalam kedudukan strategik di salah satu negara yang memiliki rizab gas terbesar dunia, sekali gus membantu memastikan Malaysia terus mempunyai kapasiti membekalkan gas kepada pasaran utama seperti Jepun, Korea Selatan, China dan negara-negara lain.

“Saya buat perbincangan hati ke hati, bincang tentang pengalaman PETRONAS selama 30 tahun, dan saya minta diberi ruang kerana PETRONAS telah diurus dengan baik, mempunyai prestasi membanggakan tapi belum dapat merobos dalam cari gali, minyak atau gas yang berskala besar walaupun ada di Kanada dan beberapa negara Afrika lain.
“Saya ucap terima kasih, satu setengah tahun berlalu, Presiden Serdar semalam mengumumkan di depan saya bahawa kerana hubungan baik dengan Malaysia, beliau bersetuju menyerahkan telaga gas di antara paling besar di dunia untuk diuruskan Malaysia, melalui PETRONAS,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyifatkan perkembangan itu amat signifikan kerana ia meningkatkan kapasiti Malaysia untuk mengurus perdagangan tenaga berskala besar dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada ekonomi-ekonomi utama.
Beliau turut melahirkan rasa syukur atas pencapaian bersejarah itu yang membolehkan negara menguruskan pasaran tenaga pada skala yang sangat besar.

“Dalam sejarah kita, ini adalah jaminan bekalan jangka panjang. Keduanya, ia memperkukuh keupayaan pengurusan dagangan tenaga kita untuk memenuhi semua permintaan pasaran utama seperti Jepun, Korea, China, Australia dan negara-negara lain yang kini berdagang dengan kita bagi jangka masa panjang,” katanya.
Menjelaskan keunikan model operasi PETRONAS di luar negara, Perdana Menteri menegaskan syarikat minyak dan gas negara itu bukan hadir sebagai entiti asing yang mengeksploitasi hasil bumi rakan dagang sebaliknya membawa pendekatan perkongsian pintar.

“Pengalaman PETRONAS ini unik, kita bukan syarikat multinasional biasa yang datang untuk mengeksploitasi. Kita datang sebagai rakan kongsi, kita kongsi teknologi, melatih pakar tempatan dan membawa pelajar terbaik mereka (Universiti Teknologi PETRONAS).
“Malah, kita turut membuka ruang kepada syarikat tempatan Turkmenistan untuk dilatih, diberikan pendedahan sewajarnya dan bekerjasama. Disebabkan faktor itu, beliau (Presiden Turkmenistan) bersetuju menyerahkan telaga besar termasuk beberapa kemudahan lain untuk dikelola oleh PETRONAS,” katanya.

Perdana Menteri berkata, ruang yang diberikan oleh Turkmenistan meletakkan keupayaan PETRONAS dan Malaysia pada tahap yang lebih tinggi dalam industri tenaga antarabangsa.
Katanya, Turkmenistan memilih PETRONAS berdasarkan kredibiliti, kepakaran teknikal dan pengalaman mengurus projek tenaga berskala besar sejak 30 tahun di negara itu.
No comments:
Post a Comment