Media Indonesia lapor Malaysia ada senjata rahsia buatkan ringgit begitu kuat



Pengukuhan nilai ringgit minggu lalu menarik perhatian negara jiran yang mengupas faktor di sebalik kekuatan mata wang Malaysia.

CNBC Indonesia melaporkan, Malaysia mempunyai “senjata rahsia” yang telah meningkatkan nilai ringgit, sekali gus meletakkannya antara mata wang berprestasi terbaik di Asia setakat 2025.


Menurut laporan itu, Malaysia sedang menunjukkan prestasi ekonomi yang semakin kukuh kerana disokong oleh eksport perdagangan yang kuat, lebihan yang berterusan serta kemasukan pelaburan asing langsung (FDI) yang mencatat rekod baharu. 



Gabungan faktor tersebut dilihat memperkukuh asas ekonomi negara hingga menyumbang kepada penguatan ringgit.


CNBC Indonesia berkata momentum ini sebagai hasil daripada fundamental ekonomi Malaysia yang stabil dan diyakini pelabur.


Satu lagi faktor yang mendorong keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia adalah produktiviti tenaga kerja yang dianggap antara tertinggi di rantau ini.

Menurut data Bank Dunia yang dipetik portal itu, Malaysia mencatat skor produktiviti tenaga kerja sebanyak 10.13, tertinggi di Asia Tenggara dan bahkan mengatasi China, Thailand, Filipina serta Indonesia yang merekodkan 9.04. 


Angka itu mencerminkan keupayaan tenaga kerja Malaysia menghasilkan output lebih tinggi bagi setiap jam bekerja, selain menunjukkan tahap kecekapan operasi yang lebih kukuh berbanding negara jiran.


Prestasi ini, menurut laporan berkenaan, menjadi salah satu faktor mengapa pelabur asing terus memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.




No comments: