Video ‘Tarian’ Trump, Anwar ‘Meletup’, Lebih 48 Juta Tontonan Di Media Sosial

 


Presiden Amerika Syarikat Donald Trump melayan tarian tradisional diiring kompang sebaik tiba di Kompleks Bunga Raya KLIA pada 26 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Klip video lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, menarik perhatian rakyat negara ini dan di media sosial dengan gelagat spontan beliau.

Namun, di sebalik keterujaan itu, debaran tetap dirasai apabila pesawat Air Force One, pesawat rasmi Presiden AS, mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pagi semalam.

Hal ini kerana keperibadian pemimpin negara kuasa besar dunia itu sukar dijangka walaupun ketika berhadapan dengan pemimpin dunia yang lain.

Bagaimanapun, ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025, menyambut ketibaan Trump dengan hamparan permaidani merah di KLIA, Presiden Amerika itu kelihatan berada dalam mood yang ceria.

Beliau berjabat tangan mesra dengan Anwar dan sapaan penuh sopan antara mereka jelas kelihatan melalui skrin televisyen atau media sosial yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia.

Yang paling menarik perhatian adalah apabila Trump secara spontan menari ketika disambut mesra oleh sekumpulan penari tradisional. Mengikut irama zapin, beliau menari dengan gaya hand shuffle, seolah-olah gerakan twist yang perlahan.

Hantaran di X memaparkan jumlah tontonan ‘tarian’ Donald Trump melepasi angka 1 juta di Instagram pada 27 Oktober 2025.

Malah, Anwar yang terhibur dengan gerakan tarian signature Trump itu turut menyertai Presiden AS, namun dengan gaya tarian yang ringkas.

Keceriaan Anwar dan Trump menari bersama-sama itu sekali gus menaikkan semangat dan menambah kehangatan suasana pagi Ahad, yang sebelum itu hujan renyai-renyai sebelum ketibaan presiden.

Imej dan video “tarian bersama” itu tular di seluruh dunia, pelbagai lapisan masyarakat berkongsi, menyiarkan semula dan meninggalkan komen dalam media sosial.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengibarkan bendera Amerika dan Malaysia selepas melayan tarian tradisional diiring kompang sebaik tiba di Kompleks Bunga Raya KLIA pada 26 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Satu daripada contohnya ialah video yang dimuat naik oleh Pembantu Khas dan Penasihat Komunikasi Presiden, Margo Martin.

Video itu meraih lebih sejuta tanda suka di platform media sosial Instagram dan 21.5 juta tontonan, selain 17.7 juta tontonan menerusi Facebook dan 9.3 juta di TikTok dengan kapsyen Trump is the leader of the worldand the king of social media (Trump ialah pemimpin dunia dan raja media sosial).

Rakyat Malaysia pastinya berasa bangga apabila seorang Presiden Amerika mengiktiraf Malaysia, pemimpinnya, lambang kebangsaan dan rakyatnya.

Menambah lagi keterujaan, Trump kemudian mendekati sekumpulan petugas yang mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Amerika Syarikat sebelum mengambilnya daripada mereka lalu mengibarkan bendera dua negara itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menaiki kenderaan rasmi Presiden Amerika Syarikat ‘The Beast’ atas permintaan presiden itu dari Kompleks Bunga Raya KLIA menuju KLCC pada pada 26 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Tidak berakhir di situ, Trump melanggar sedikit protokol keselamatan apabila mengundang Anwar untuk bersama-sama beliau menaiki kenderaan rasmi presiden, “The Beast”, menuju ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara, lokasi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN.

Selaku tuan rumah ASEAN, Anwar turut ke hotel penginapan Trump untuk mengucapkan selamat jalan kepada pemimpin itu yang berlepas ke Jepun pagi ini.

Air Force One kini dalam penerbangan ke Tokyo sebelum ke Korea Selatan, dengan Trump dijadualkan menghadiri forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang akan diadakan di bandar pesisir Gyeongju.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menaiki kenderaan rasmi Presiden Amerika Syarikat ‘The Beast’ atas permintaan presiden itu dari Kompleks Bunga Raya KLIA menuju KLCC pada pada 26 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Kedatangan Trump buat julung-julung kali ke Malaysia pastinya kekal dalam ingatan rakyat akan imej seorang presiden yang bukan sahaja tegas, tetapi juga terselit sisi lain yang ceria. Kita bangga menjadi rakyat Malaysia.





No comments: