Siapa yang bohong dalam pertemuan Pas dan Mahiaddin kini jadi tanda tanya



Siapa yang berbohong dalam pertemuan Pas dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Yassin baru-baru ini masih menjadi tanda tanya.


Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, memberitahu jemputan telah dihantar kepada kepimpinan tinggi Pas tetapi tiada wakilnya yang hadir.


Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan bahawa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempunyai program lain.


Sebaliknya, Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden pula mengesahkan mereka tidak dijemput atau mengetahui mengenai pertemuan rentas parti terbabit.

Mengulas kenyataan berbeza melibatkan tiga pemimpin PN terbabit, pemerhati politik, Hussin Jan berpendapat blok pembangkang itu berada dalam situasi tidak aman.



“Antara tiga orang ni agak-agak siapa yang bercakap bohong?

“Agak-agak antara Bersatu dengan Pas, siapa nak kena cerai?


“Muhyidin buat pertemuan dengan lain-lain parti termasuk parti yang tak ada kerusi.

“Tapi Pas yang ada 40 kerusi lebih kena tinggal. Nampak macam aman tapi…,” ulas Hussin.

Ketiadaan pemimpin Pas dalam pertemuan rentas parti melibatkan pembangkang bersama Mahiaddin pada 18 Julai lalu terus mengundang teka-teki.


Selain wakil pemimpin Bersatu, parti lain yang hadir antaranya Gerakan, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Muda.



Mahiaddin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan ketua parti blok bukan kerajaan bagi membincangkan cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti dalam kalangan parti pembangkang.






No comments: