Saifuddin Nasution Belum Putuskan Tanding Jawatan Timbalan Presiden KEADILAN

 


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks Setia Perkasa KDN pada 22 April 2025. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 22 Apr – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa beliau belum membuat sebarang ketetapan sama ada akan mencabar Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan KEADILAN 24 Mei ini.

Bekas Setiausaha Agung KEADILAN itu berkata, walaupun ada pihak yang menyebut mengenai perkara tersebut, namun tiada keputusan dibuat ke arah itu.

“Saya pun mengikuti juga beberapa pandangan orang yang mula menyebut tentang idea bahawa sampai masanya saya membuat pengumuman dan sebagainya. (Namun) saya masih lagi belum membuat apa-apa ketetapan ke arah itu (tanding jawatan Timbalan Presiden),” katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks Setia Perkasa KDN pada 22 April 2025. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail

Terdahulu media melaporkan, perkembangan pemilihan di 222 cabang KEADILAN menyaksikan sekutu Rafizi hampir di seluruh megara tumbang mencetuskan persoalan menarik yang memungkinkan wujudnya pencabar Ahli Parlimen Pandan bagi jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Antara pemimpin tewas yang dikaitkan dengan Mohd Rafizi ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang kalah kepada Datuk Afdlin Shauki Aksan di Cabang Setiawangsa dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang kecundang di Cabang Johor Bahru.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks Setia Perkasa KDN pada 22 April 2025. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail

Kedua-duanya tewas dengan majoriti tipis selain ramai lagi sekutu Mohd Rafizi turut tumbang di beberapa cabang di Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Johor.

Mengulas lanjut, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu berkata, tiada sesiapa yang boleh mempersoalkan kesetiaannya terhadap parti dengan ‘track record’ selama 14 tahun menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung.

“Orang tua macam saya ini lebih nostalgik bila cakap tentang sejarah parti, saya cuma mengajak semua pendokong parti supaya menganggap proses pemilihan ini satu proses demokrasi yang segar. Kalau ada tidak puas hati misalnya, saluran parti itu harus digunakan,” katanya.




No comments: