Rasuah: Ismail Sabri Beri Keterangan Lima Jam Kepada SPRM

 


PUTRAJAYA, 13 Mar – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi keterangan selama kira-kira lima jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.

Kenderaan jenis Audi berwarna hitam yang dinaiki beliau, meninggalkan ibu pejabat SPRM pada jam 3.13 petang selepas memasukinya pada jam 9.45 pagi tadi kerana dijadualkan memberi keterangan kepada penyiasat SPRM pada jam 10 pagi.

Ketika melewati pintu keluar, Ismail Sabri sempat melambaikan tangan kepada pengamal media yang berkumpul di di situ sejak awal pagi tadi.

Menurut sumber, Perdana Menteri Ke-sembilan yang juga Ahli Parlimen Bera dijangka hadir semula ke pejabat SPRM pada Jumaat ini bagi meneruskan rakaman percakapan.

Media semalam melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata sijil cuti sakit Ismail Sabri berakhir hari ini.

Berikutan itu, beliau diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam percakapan berdasarkan siasatan sedang dijalankan dan saksi-saksi tambahan (juga) akan dipanggil dalam tempoh terdekat secara gradual ke pejabat SPRM untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Pada 3 Mac, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah ‘safe house’ susulan serbuan dilakukan pihaknya.

SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun bagi membantu siasatan kes berkenaan.


No comments: