Saya telah bercakap melalui telefon dengan Perdana Menteri Republik Fiji Sitiveni L. Rabuka dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan negara kepulauan di Selatan Lautan Pasifik tersebut.
TYT Rabuka telah menyatakan minatnya terhadap model pembangunan Malaysia dan ingin mencontohi pendekatan MARA dalam memperkasa sektor ekonomi dan pendidikan. Saya menyambut baik hasrat ini dan bersedia berkongsi pengalaman serta kepakaran Malaysia dalam bidang-bidang tersebut.
Dalam lapangan pendidikan, Malaysia mengalu-alukan kehadiran pelajar dari Republik Fiji, khususnya dalam program TVET, STEM, dan teknologi maklumat.
Saya juga menjemput Fiji untuk menyertai program latihan pembangunan kapasiti di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada pembangunan sumber manusia melalui latihan dan perkongsian kepakaran.
Saya turut menzahirkan rasa syukur dengan pembukaan semula Suruhanjaya Tinggi Fiji di Kuala Lumpur pada awal tahun ini. Ia mencerminkan komitmen tegas Fiji untuk memperkukuh hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Sebagai langkah seterusnya, saya ingin mengundang TYT Rabuka untuk segera melakukan lawatan rasmi ke Malaysia. Saya percaya pertukaran lawatan peringkat tinggi akan terus mempererat hubungan antara kedua-dua negara dan membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik.
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja.
No comments:
Post a Comment