
Pesawat khas membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi jam 7.10 malam waktu tempatan pada 25 Februari 2025. Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
HANOI, 25 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini bagi mengadakan lawatan kerja sempena Forum Masa Depan ASEAN (ASEAN Future Forum – AFF) 2025 ke-2 atas jemputan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, di sini jam 7.10 malam waktu tempatan (8.10 malam waktu Malaysia).
Ini merupakan lawatan kali kedua Anwar ke Vietnam setelah melakukan lawatan sulung atas jemputan Pham Minh Chinh pada Julai 2023 bersama isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Ketibaan beliau disambut Timbalan Menteri Luar Vietnam, Ngo Le Van; Duta Vietnam ke Malaysia, serta Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai.
Lawatan Anwar kali kedua sejak kali terakhir pada Julai 2023 juga bakal memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Vietnam serta memperluas kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.

Menurut kenyataan Wisma Putra, forum yang bermula hari ini sehingga esok, merupakan platform perbincangan inklusif dan dialog dalam kalangar pemimpin ASEAN, pembuat dasar, pakar, badan pemikir, peneraju perniagaan dan pihak berkepentingan mengenai hala tuju masa depan ASEAN.
“Dalam ucaptama beliau, Perdana Menteri akan menekankan komitmen Malaysia terhadap nilai-nilai MADANI dan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 serta mengetengahkan keutamaan dan keberhasilan Malaysia tahun ini.

Ini termasuk usaha mempromosikan pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan, transformasi digital, perubahan iklim, dan tenaga boleh diperbaharui,” menurut kenyataan itu.
Anwar juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam dan Presiden Republik Sosialis Vietnam Luong Cuong serta bertemu dengan Pham Minh Chinh.
No comments:
Post a Comment