Kerajaan tiada rancangan mansuh subsidi minyak masak paket – Rafizi

 21.nov 2024

Hantar Berita Ini:WhatsApp

PUTRAJAYA: Tiada sebarang cadangan berhubung pemansuhan subsidi minyak masak paket di bawa ke Kabinet setakat ini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. 

Beliau menjelaskan, kenyataannya sebelum ini berhubung isu terbabit diambil di luar konteks, sebaliknya beliau menyentuh mengenai usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan ketirisan, bukan menjurus kepada pemansuhan subsidi barangan keperluan itu.

“Soalan itu sebenarnya diputar-putar, saya ditanya dalam forum terbuka mengenai (subsidi) minyak paket, jadi jawapan saya ialah jawapan umum dan sudah tentu semua pelaksanaan program kerajaan ini memang disemak untuk mengurangkan ketirisan. 

“Tugas dan penentuan itu dibuat oleh KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), jadi setakat ini tidak ada keputusan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran Innovathon Musim Kedua di sini, hari ini. 

Sebelum ini, media melaporkan isu pemansuhan subsidi minyak masak paket ada dibincangkan kerajaan bagi mengatasi masalah ketirisan. 

Bagaimanapun, Rafizi dilaporkan berkata, terdapat risiko tertentu untuk pelaksanaan pemansuhan. 

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sekiranya kementerian berkaitan mempunyai sebarang cadangan berhubung isu terbabit, ia boleh dikemukakan kepada Kabinet.

“Contohnya program minyak masak berpaket ini, memang kita semua tahu ada ketirisan, memang kita semua tahu ada masalah kerana tidak sampai kepada orang yang sepatutnya menerima. 

“Sama ada perkara itu ada keputusan atau tidak, itu terpulang kepada kementerian, kalau mereka ada cadangan, mereka akan bawa kepada Kabinet,” katanya.-BH Online