UMNO BOLEH JADI DOMINAN, TAPI PERANGAI SOMBONG MACAM KP UMNO TIDAK HARUS ADA DALAM UMNO.

 

UMNO DOMINAN, PASTIKAN IA MENJADI KENYATAAN


11 October 2024


 Apa itu UMNO dominan?


Walaupun tempoh diadakan PRU16 ada kira-kira tiga tahun lagi, tetapi suara-suara yang mahu UMNO menjadi dominan semakin kerap kedengaran.


Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan di Malam Tautan Kasih ‘96 pada Rabu lalu turut menyentuh tentang perlunya kedominanan UMNO itu.


Katanya, UMNO perlu menjadi parti yang dominan selepas PRU16 akan datang.


Secara mudah, maksud dominan itu ialah UMNO perlu memenangi lebih banyak kerusi berbanding 26 kerusi Parlimen yang dimilikinya sekarang.


UMNO secara realitinya sedar bahawa kekal bersama dalam kerajaan perpaduan adalah pilihan yang wajar diteruskan kerana untuk BN secara sendirian membentuk kerajaan sudah menjadi sejarah yang sukar untuk diulang kembali.


UMNO/BN pada hakikatnya tiada pilihan lain melainkan perlu terus bekerjasama dengan PH demi memastikan keberadaannya dalam kerajaan kekal berpanjangan.


Tetapi, sesuai dengan kedudukan UMNO itu sebagai parti Melayu yang utama di negara ini, selain majoriti penduduk negara juga adalah Melayu, parti itu tidak harus kekal dengan 26 kerusi Parlimen saja atau kurang daripadanya.


Ia mesti memiliki jumlah kerusi Parlimen yang lebih besar daripada itu selepas PRU16 akan datang.


Dengan memiliki lebih banyak kerusi Parlimen, ia dengan sendirinya akan menjadikan kedudukan UMNO dalam kerajaan perpaduan lebih berkesan lagi.


Sekarang ini banyak pertikaian timbul tentang peranan kerajaan dalam membela dan menjaga kepentingan Melayu berikutan jumlah Ahli Parlimen mewakili kaum itu tidak cukup kuat dan bersepah-sepah dalam pelbagai parti.


PKR tidak boleh dianggap sebagai parti Melayu kerana ia parti pelbagai kaum dan daripada 31 Ahli Parlimen yang dimilikinya sekarang, ia juga termasuk wakil kaum Cina serta India manakala Amanah pula parti yang terlalu kecil untuk bersuara besar berkaitan kepentingan Melayu.


Di dalam PH, parti paling kuat ialah DAP dengan 40 Ahli Parlimen.


Sebab itu, meskipun jika digabungkan UMNO, PKR dan Amanah, suara Melayu daripada ketiga-tiganya masih lagi dikira belum cukup kuat.


Suara Melayu dalam kerajaan perpaduan hanya akan menjadi kuat jika UMNO pada PRU16 akan datang mampu menang lebih banyak kerusi Parlimen, misalnya 40 hingga 45 kerusi.


Kalau dapat lebih besar daripada angka itu lebih baik lagi.


Dengan UMNO memiliki kerusi Parlimen yang lebih besar atau setidak-tidaknya setanding dengan jumlah kerusi DAP, ia juga akan menjadikan orang Melayu lebih gembira berbanding sekarang terhadap kerajaan perpaduan.


Tidak akan timbul lagi sebarang keraguan sebagaimana sekarang di mana kerusi Melayu yang dimiliki pembangkang adalah lebih besar daripada yang berada dalam kerajaan.


Untuk itu, perjuangan menjadikan UMNO dominan harus menjadi tangkal azimat buat seluruh pemimpin dan penggerak parti itu mulai sekarang agar ia benar-benar menjadi kenyataan dalam PRU16 akan datang.


UMNO dominan bukan saja untuk masa depan parti itu dalam kerajaan, tetapi juga untuk memastikan kepentingan Melayu melalui dasar-dasar kerajaan sentiasa terpelihara. – ShahbudinHusin 11Oktober2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/10/11/umno-dominan-pastikan-ia-menjadi-kenyataan.html