Geram dengan sikap negara-negara Arab yang tidak membela nasib Palestin, presiden Amanah menyeru agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengikhtiarkan formula baru untuk menegakkan keadilan dunia.
Mohammad Sabu berkata, negara-negara Arab bahkan menghulurkan kerjasama dengan Israel.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun tidak berguna lagi, United Nation jadi tempat pertandingan syarahan, tak ada guna.
“Sebab itulah saya menyeru kepada Perdana Menteri Malaysia untuk ikhtiarkan satu formula baru untuk menegakkan keadilan, tatacara keadilan di dunia ini.
“Ini yang perlu diikhtiarkan kerana United Nation sudah dinodai oleh Amerika Syarikat dan Britain yang melindungi Israel,” katanya ketika berucap pada himpunan Setahun Taufan Al-Aqsa di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi, bekas Naib Presiden PKR Tian Chua, aktivis Hishamuddin Rais dan barisan pemimpin pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.
Peserta himpunan solidariti Palestin itu turut berarak dari bangunan Tabung Haji menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat untuk menghantar memorandum, namun dihalang pihak polis.
Mereka meneruskan himpunan dengan ucapan-ucapan solidariti terhadap Palestin sebelum bersurai pada jam 3.15 petang.
Sementara itu Mohammad berkata amat malang apabila umat Islam di negara-negara Arab tidak mempedulikan nasib rakyat Palesti yang berdepan genosid berterusan.
“Umat Islan di negara Arab bukan sahaja tidak peduli, bahkan mereka menghulurkan tangan bekerjasama dengan Israel.
"Inilah malang, tapi jangan bimbang akan ada sentiasa ada manusia yang bersedia mati di jalan Allah.
“Kita setakat memberi sokongan moral, kita tidak terlibat dalam bantuan memberi senjata tetapi dari sudut kebajikan. Tapi dalam soal kebajikan pun kadang-kadang ada negara Islam tidak hulurkan,” katanya.