PMX HADIR MAJLIS MEMPERINGATI KERUSI SYED HUSIN DI UM

 

Usai meninjau mangsa banjir di Kedah, saya bersama Azizah hadir ke majlis memperingati sahabat dan guru saya, Almarhum Syed Husin Ali di Universiti Malaya, yang membawa kembali kenangan tatkala saya mengikuti sesi kuliah dan syarahannya di sini suatu ketika dahulu.









Saya menghimbau kekentalan jiwa Pak Syed, seorang pemikir awam yang tekal dalam jalur perjuangan membela nasib rakyat miskin, menuntut keadilan serta seorang pejuang bahasa Melayu yang kental.


Sempat juga saya mengenang saat kami bersebelahan lokap di Kuala Lumpur, sebelum bersama-sama dihumban ke Kamunting pasca Peristiwa Baling 1974, di mana kami semakin akrab dan bertukar pandangan serta berbahas dalam berbagai hal.


Saya amat menghargai persahabatan yang terjalin antara kami, apatah lagi Syed Husin adalah antara yang pertama dalam kalangan pimpinan politik yang datang ketika peristiwa getir pemecatan saya pada 1998, dan menzahirkan kesetiaan untuk bersama-sama mendukung perjuangan ini.


Syed Husin juga paling sering ke mahkamah ketika itu, dan memberi jaminan kepada Azizah dan anak-anak bahawa Uncle Syed akan tetap bersama, memberi perhatian dan membela nasib mereka.


Pastinya intelektualisme dan kecekalan Syed Husin yang konsisten, tuntas dalam pandangan, tidak berganjak soal tatakelola yang baik serta gerakan membela nasib rakyat banyak mempengaruhi Parti Keadilan Rakyat. Beliau sentiasa menekankan bahawa KEADILAN mesti meletakkan agenda pembelaan nasib rakyat, petani, nelayan dan miskin kota sebagai keutamaan.


Saya percaya pemikiran Syed Husin harus terus digali dan dibahaskan menerusi karya-karya beliau yang begitu berharga, umpamanya “Social Stratification Social Stratification in Kampong Bagan” yang membicarakan perihal kesenjangan yang melebar antara kelompok kaya dan miskin.


Keilmuan dan sikapnya juga harus diteladani ahli akademik, di mana Pak Syed mendasari ilmunya untuk berpijak kepada kenyataan hidup dan realiti masyarakat, kemudian melontarkan idea serta teguran dengan berani. Seorang sarjana dari universiti itu tidak harus hanya menjadi pak turut, sebaliknya harus bebas berbicara.


Di majlis ini, saya umumkan persetujuan untuk mewujudkan Kursi Syed Husin Ali di Universiti Malaya sebagai wadah untuk terus meneroka curahan pemikiran beliau terkait kehidupan rakyat miskin di kota dan desa, strata sosial, hubungan etnik dan selainnya.


Saya turut umumkan peruntukan RM200,000 kepada Persatuan Sains Sosial untuk menyelenggara penulisan dan kajian-kajian daripada pemikiran Syed Husin. 


Semoga segala usaha ini akan terus menghidupkan obor perjuangan Syed Husin untuk melihat reformasi berlaku dalam sistem

negara yang kian bobrok akibat tatakelola yang lemah, rasuah yang menjalar dan kesenjangan yang terus melebar.


Terima kasih atas penganjuran majlis ini yang membuka ruang untuk saya melontarkan isi hati, persahabatan dan kasih yang abadi kepada sahabat, guru dan teman

seperjuangan, saudara Syed Husin Ali.


Al-Fatihah.


#MalaysiaMADANI