Bukan Islam di Malaysia tidak boleh digelar kafir harbi – Pejabat Mufti



Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
SHAH ALAM – Gelaran ‘kafir harbi’ tidak boleh ditujukan kepada mana-mana warganegara bukan Islam di negara ini kerana tidak menepati definisi dan tidak mencukupi ciri yang telah ditetapkan oleh para ulama.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tindakan melabelkan seseorang warganegara dengan gelaran ini akan membawa implikasi yang buruk dan dahsyat kerana mereka halal untuk diperangi, keamanan mereka tidak akan dijaga dan keselamatan harta benda mereka tidak akan dijamin.

“Label ini tidak boleh untuk ditujukan kepada mana-mana warganegara bukan Islam di sesebuah negara yang menghormati perlembagaannya dan mematuhi undang-undangnya.

“Oleh yang demikian, perbuatan melabelkan sebahagian daripada warganegara sesebuah negara dengan label sebegitu merupakan satu perbuatan yang ekstrem dan keterlaluan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Pada Jumaat, beberapa pemimpin Melayu DAP menuntut permohonan maaf susulan video tular memaparkan seorang individu menggelar parti itu ‘kafir harbi’ sebuah ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Khamis.

Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) bagi PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan individu berkenaan telah tersalu dan kini direhat bagi memastikan keadaan kembali tenang susulan kontroversi itu.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, istilah ‘kafir harbi’ adalah dirujuk kepada golongan orang bukan Islam yang tiada jaminan perlindungan daripada orang Islam dan merupakan golongan yang memerangi Islam dan melakukan kejahatan ke atas mereka.

“Jika ingin melihat konteks kafir harbi pada zaman sekarang, maka istilah itu boleh dirujuk kepada kumpulan Zionis dan Israel yang memusuhi dan memerangi umat Islam serta mengusirkan mereka daripada tempat kediaman dan tanah air mereka,” katanya. -Sinar Harian



No comments: