SEKADAR TURUN HARGA TELUR TAK SEPADAN DENGAN KEHEBATAN SOSOK BERNAMA ANWAR



Kerajaan memutuskan harga runcit bagi telur gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji, bermula hari ini.


Penurunan itu, menurut Perdana Menteri adalah selaras dengan usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat,


Dengan penurunan itu,  Anwar Ibrahim berkata, harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C kini masing-masing adalah 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji.


Tidak dipastikan sama ada penurunan harga telur yang diumumkan Perdana Menteri pada pagi Hari Raya Haji tadi melalui satu kenyataan media merupakan berita baik sebagaimana dimaksudkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam pemberitahuannya pada 15 Jun lalu.


Jika itulah berita baiknya, ia bukan saja terlewat sehari kerana Fahmi berkata pengumuman berita baik itu akan dibuat pada 16 Jun, tetapi juga dirasakan terlalu minima bagi seorang Perdana Menteri hebat seperti Anwar.


Hebatnya Anwar sebelum bergelar Perdana Menteri, beliau dengan gagah mampu menurunkan sebuah kerajaan, malangnya setelah bergelar Perdana Menteri nampaknya hanya mampu menurunkan harga telur saja.


Memang tak sepadan  dengan kehebatan serta aura Anwar selama ini, patutnya yang diturunkan adalah harga barangan asas yang lain yang lebih menjadi keperluan rakyat dalam kehidupan seharian mereka.


Lebih-lebih lagi pengumuman turun harga telur itu dibuat di pagi Hari Raya Haji, ia langsung tak menambah kemeriahan sambutan daripada yang sepatutnya.


Sewajarnya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu saja yang mengumumkan turun harga telur ini.


Lagi pun, janji turun harga telur tidak pernah diucapkan Anwar sepanjang liku-liku perjuangannya untuk menjejaki jawatan Perdana Menteri.


Yang kerap diulang ialah menurunkan harga minyak, namun malang sekali menaikkan harga minyak lebih mudah akhirnya daripada menurunkannya setelah kuasa ada dalam genggaman.


Dengan telur diumumkan turun harga, ia hampir tiada bezanya dengan kangkung turun harga di zaman Najib Razak sebelum ini.


Selain rakyat tidak ternampak kegembiraan yang ketara lantaran telur bukanlah makanan asas, sebaliknya penurunan itu lebih menjadi bahan untuk netizen lebih “ganas”  lagi menyindir Anwar.


Pelbagai “troll” ketika ini boleh ditemui di media sosial sejak Anwar mengumumkan penurunan harga telur sebanyak 3 sen pagi tadi.


Pokoknya bukan rakyat tidak bersyukur atau tidak berterima kasih, cuma ia keberanian yang terlalu minima bagi sosok Perdana Menteri hebat seperti Anwar yang selama ini dikhabarkan berjaya membawa masuk pelaburan ratus-ratus bilion ke dalam negara.


3 sen turun harga, makan roti telur atau maggi goreng telur mata atau telur separuh masak di kedai mamak pun rasanya masih kekal dengan harga lama.


Habis…camno??? - ShahbudinHusin17Jun2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/06/17/menurunkan-harga-telur-tak-sepadan-dengan-kehebatan-sosok-bernama-anwar.html



No comments: