Kenyataan Media
PAS KEKAL BERSAMA PN.
Sebagai jurucakap kerajaan, Menteri Komunikasi YB. Fahmi Fadzil seharusnya bersikap lebih telus dan tidak terus syok sendiri dengan permainan persepsi serta fitnah untuk memburukkan pesaing politik Putrajaya, terutama PAS.
Kenyataan terbarunya mengenai "kemungkinan" PAS menyertai kerajaan kerana kononnya "ada banyak perbincangan sedang berjalan" adalah imaginasinya sendiri dan tidak ada kaitan dengan PAS atau realiti politik.
Jelas ia bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dan menimbulkan persepsi buruk terhadap PAS, terutama dalam kalangan pengundi di DUN Sungai Bakap yang bakal memilih wakil rakyat baharu pada 6 Julai depan. Justeru ahli-ahli dan penyokong PN tidak harus terperangkap dengan politik dan publisiti murahan pemimpin PH ini.
Tanpa kejayaan yang boleh dibanggakan, selain berdepan dengan banyak cabaran kerana dasar-dasar yang cacamarba, termasuk kecamuk dan rasa tidak senang rakyat ekoran kelemahan kerajaan terutamanya dalam mengendalikan kesan langkah penyasaran harga diesel, Fahmi nampaknya berasa perlu untuk mengalihkan perhatian orang ramai kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN) dengan isu yang tidak berbangkit sama sekali.
Dalam pada itu, "rundingan" yang disebut oleh menteri berkenaan, terutama antara Menteri Besar negeri-negeri yang diketuai PAS dengan Perdana Menteri adalah rundingan biasa berkait urusan pentadbiran pusat-negeri dalam sebuah negara persekutuan. Amat memalukan seorang bertaraf Menteri tidak dapat memahami antara politik dengan pentadbiran, apatah lagi konsep Federalisma.
Suka ditegaskan bahawa PAS tetap kekal bersama gabungan serta kerjasama PN dan iltizam ini telah disebut sebelum ini oleh Timbalan Presiden PAS YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Ketua Dewan Ulama PAS YB. Dato’ Ahmad Yahya.
Perlu juga ditegaskan bahawa PAS bukan seperti parti-parti dalam gabungan kerajaan yang sering mengubah janji dan pendirian mereka ketika sebelum pilihan raya dan selepasnya atau pada bila-bila masa lain yang perlu apabila tersepit dengan keadaan.
Maaf Fahmi, PAS tetap bersama PN.
Terima kasih.
TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 23 Jun 2024