KESIAN PMX….



Petang semalam saya minum-minum sambil berbual-bual dengan seorang kawan yang sudah lama tidak ditemui.


Sudah beberapa bulan kami tidak bertemu, kecuali komunikasi hanya berjalan melalui Whatsapp saja.


Kenalan saya itu orang lama dalam PKR, seingat saya sejak tertubuhnya PKR lagi beliau sudah bersama parti itu.


Sokongan dan sayangnya kepada Anwar Ibrahim memang tidak berbelah bagi daripada dulu sehinggalah sekarang.


Beliaulah selama ini yang kerap menghantar video-video mengenai ucapan hebat Anwar atau bagaimana rakyat mengerumuninya setiap kali turun ke merata tempat untuk menunaikan solat Jumaat.


Pendek kata, sejak Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri, beliau adalah antara  orang yang berasa paling bangga.


Tetapi semalam, untuk pertama kalinya kawan saya itu meluahkan rasa sedih dan kesiannya kepada PMX.


Sebelum ini ketika Anwar dibicarakan  di mahkamah dan kemudian dihantar ke penjara pun beliau tidak  rasa kasihan atau simpati seperti sekarang ini.


Waktu itu, apa yang menimpa Anwar itu lebih menaikkan semangatnya lagi untuk terus cekal dalam perjuangan.


Kawan saya itu berasa sedih dan kesian kerana dalam keadaan Anwar dicemuh, dihentam dan dimaki berbakul-bakul oleh rakyat dalam isu kenaikan harga diesel sekarang ini, Perdana Menteri seolah-olah hanya bersendirian menghadapinya.


Beliau sedar di mana-mana ketika ini sama ada di media sosial, di kedai kopi atau di mana saja nama Anwar ada disebut, yang kedengaran hanyalah kejian, cacian dan rasa sudah hilang kepercayaan.


Sejak timbul isu naik harga minyak ini, sudah susah untuk mendengar kata-kata pujian dan sanjungan seperti mana sebelum ini.


Lebih membuatkan kawan saya itu berasa sedih dan kesian kerana menurutnya, menteri-menteri, kecuali Rafizi Ramli, lebih banyak mendiamkan diri daripada mengeluarkan suara.


Beberapa nama menteri PKR dan agensi kerajaan yang sepatutnya berperanan membela Anwar terang-terang disebutnya sebagai tidak berguna dan hanya makan gaji buta saja.


Amat membuatkan beliau tersentuh lagi kerana pemimpin-pemimpin UMNO juga turut mendiamkan diri, walhal Presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi sudah pun beroleh nikmat DNAA melalui pembentukan kerajaan perpaduan yang sekarang diterajui Anwar.


Kata beliau, apabila Perdana Menteri dihentam, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menterilah yang sepatutnya paling ke depan menjadi benteng pertahanan.


Sekarang tambahnya, seolah-olah semua mereka itu seronok pula melihat PMX  terkapai-kapai sendirian membela dirinya sendiri.


Terdengar beliau mengeluh, tak taulah berapa lama Anwar mampu bertahan lagi.


Meskipun kawan saya itu masih menaruh harapan agar Anwar kekal lebih lama sebagai Perdana Menteri, tetapi rasa kecewanya jelas lebih menggunung berbanding semangat untuk terus melawan.


Katanya, kalau yang diberi jawatan pun goyang kaki dan tak buat kerja yang sewajarnya dalam menangkis dan menjawab sentimen yang kian membesar di kalangan rakyat, apalah sangat yang boleh dilakukan oleh penyokong marhaen sepertinya.


Mendengar luahannya, sementara saya tumpang kesian kepada Anwar, tetapi saya lebih kesian terhadap sengsara jiwa kawan saya itu. - ShahbudinHusin 14Jun2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/06/14/kesian-pmx.html