DIBERI NAIK GAJI, MAMPUKAH IA MENTERBALIKKAN SOKONGAN PENJAWAT AWAM KEPADA PH/BN?

 


Sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei semalam, ajan paling menarik yang dibawa PMX ialah mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam bermula 1 Disember depan.

Katanya, kenaikan yang diberi nanti melebihi 13 peratus merupakan tertinggi dalam sejarah dan melibatkan peruntukan dana sebanyak RM10 bilion.

Komponen penting dalam kenaikan tersebut ialah penjawat awam gred rendah akan menerima kenaikan lebih tinggi antara 25 hingga 30 peratus, selain menjadikan pendapatan minimum mereka melebihi RM2,000 sebulan.

“Pada masa ini pendapatan minimum penjawat awam adalah pada kadar RM1,765. Ini tak munasabah.

“Maka tahun ini kriteria ukuran baharu sistem saraan iaitu pendapatan menyeluruh gaji dan elaun tetap penjawat awam mesti lebih RM2,000,” katanya lagi.

Memberi kenaikan gaji penjawat awam bermula I Disember ini, setelah awal tahun ini mereka sudah diberi bayaran insentif sebanyak RM2,000 dan saguhati Hari Raya Aidil Fitri RM500, bermakna ini kali ketiga mereka memperolehi laba bagi tahun 2024 ini.

Pendeknya, ini bukan lagi durian runtuh, tetapi umpama musim durian berbuah tiga kali dalam setahun.

Meski difahami pemberian itu sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap khidmad penjawat awam, di samping untuk menyeimbangkan pendapatan gred rendah dengan tinggi, tidak dapat dinafikan ia juga difahami bertujuan agar kakitangan kerajaan sentiasa menyokong parti-parti yang sekarang membentuk kerajaan perpaduan sehingga PRU16 akan datang.

Turut tidak dapat dinafikan, kecenderungan memberi kenaikan ini adalah kesan daripada sokongan majoriti penjawat awam kepada parti bukan PH/BN dalam PRU15 lalu dan PRN tahun lepas.

Banyak kajian selepas kedua-dua pilihan raya tersebut menyimpulkan sokongan penjawat awam kepada blok pembangkang yang ada sekarang adalah sekitar 70 peratus, malah kemenangan PN di kerusi Parlimen Putrajaya buat pertama kali pada PRU15 adalah merupakan mercu tanda ke mana arah mana hati dan jiwa kecenderungan mereka.

Dengan kenaikan gaji ini, harapan besar dan barangkali harapan setinggi KLCC di dada Anwar ialah agar penjawat awam kembali menyokong PH/BN dalam PRU16 akan datang, seterusnya mengekalkan lagi beliau sebagai Perdana Menteri.

Sebagaimana diketahui umum, selain PH mahu PMX kekal sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua, BN melalui kenyataan Zahid Hamidi baru-baru ini juga mempunyai komitmen yang sama.

Bolehkah harapan itu menjadi kenyataan?

Sejak semalam, selain meneliti perkembangan di media, saya juga ada ramai kenalan dan saudara mara yang bekerja sebagai penjawat awam, tetapi secara umumnya respon mereka didapati agak dingin dan mendatar.

Yang tampak gembira dan melonjak dengan kemurahan hati Anwar nemberi kenaikan gaji itu hanyalah penyokong-penyokong tegar kerajaan madani.

Malangnya, mereka itu bukanlah pula penjawat awam.

Kakitangan awam didapati masih bersikap tunggu dan lihat terhadap kenaikan gaji yang bakal mereka terima pada 1 Disember nanti.

Tidak kurang yang bimbang kos sara hidup dan harga barang akan menaik lebih tinggi sebelum pun kenaikan gaji itu mereka terima.

Harap-harapnya berita gembira yang diumumkan PMX semalam tidak seperti memakai kain singkat – tutup atas, paha terdedah dan tutup bawah, dada terdedah.

Pengundi yang bukan penjawat awam diberi apa? – ShahbudinHusin 2Mei2024.