KERAJAAN MADANI JANGAN CUBA PERTAHAN ‘ENAM JAHANAM’, NANTI TERCEMAR IMEJ SENDIRI



Sebahagian penyokong serta pendokong PH didapati tidak begitu gembira dengan keputusan RoS meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu berkaitan larangan kepada wakil rakyatnya memberi sokongan kepada parti lawan.


Mereka bahkan lebih tidak gembira dengan kelulusan itu yang dijangka akan memaksa diadakan pilihanraya kecil di enam kawasan di mana Ahli Parlimen Bersatu sebelum ini telah mengisytiharkan sokongan kepada PMX dan kerajaan madani.


Pelbagai alasan cuba diberikan, antara yang popular ialah pilihan raya kecil atau PRK hanya akan membazirkan wang rakyat.


Tetapi, yang jelasnya alasan sebenarnya ialah mereka tidak mahu sokongan majoriti yang kini dimiliki PMX akan berkurangan jika PN kembali memenangi PRK di enam kawasan terbabit.


Kalau diimbas bagaimana geng Azmin Ali mengkhianati PKR dan PMX sebelum ini, lulusnya pindaan perlembagaan Bersatu itu sepatutnya merupakan suatu berita gembira buat para penyokong PH.


Ini kerana sebagaimana Akta Anti Lompat Parti adalah perkara yang diperjuangkan oleh PH susulan pengkhianatan tersebut, mereka yang khianat kini tidak boleh lagi berbangga dengan pendurjanaan mereka.


Hukuman hilang kerusi Parlimen tetap menanti mereka.


Tidak senangnya mereka dengan lulusnya pindaan perlembagaan Bersatu itu seolah-olah mereka hanya tidak suka dikhianati, tetapi gembira bila pengkhianat datang membawa sokongan.


Ehhh…tak bolehlah begitu, kena jujurlah sepanjang masa, lagi pun sokongan pengkhianat bukan pun sokongan yang ikhlas.


Di sebalik masih ada yang tidak gembira, sebetulnya dengan lulusnya pindaan perlembagaan Bersatu itu, disertai pula Akta Anti Lompat Parti yang telah sedia wujud, kedudukan “enam jahanam” Ahli Parlimen parti itu yang memberi sokongan kepada pihalk lawan tanpa restu parti itu bukan saja lebih mudah diselesaikan, bahkan tidak patut ada pertikaian sama sekali.


Oleh kerana “enam jahanam” itu masih ahli Bersatu, tanya saja pendirian mereka sekarang ini sama ada mereka menyokong PN atau PMX dan kerajaan madani.


Kalau mereka bertegas mahu terus menyokong PMX dan kerajaan madani, maka secara automatik kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen adalah gugur, sesuai dengan pindaan perlembagaan yang telah diluluskan RoS itu.


Jika Bersatu nanti sudah memperolehi jawapan tersebut, Speaker Parlimen tak perlulah berdolak-dalik lagi dalam membuat keputusan.


Akur sajalah kedudukan enam Ahli Parlimen berkenaan telah tergugur dan perlu diadakan PRK semula.


Jangan risau dengan pembaziran mengadakan PRK kerana kalau kita perhati laporan audit setiap tahun, lebih besar lagi pembaziran yang berlaku setiap tahun, bahkan berulang-ulang setiap kali laporan audit dikeluarkan.


Lagi pun, pembaziran mengadakan PRK itu hanya sekali saja berlaku, selepas ini tiada siapa yang berani dan “saja-saja mahu jadi bodoh” untuk mengalihkan sokongan kepada parti lawan tanpa restu parti sendiri.


Yang lebih penting, apabila Speaker akur dengan kekosongan kerusi tersebut dan membenarkan diadakan PRK, nama kerajaan madani dan PMX sendiri akan menjadi lebih baik di mata rakyat kerana bertindak selaras dengan Akta Anti Lompat Parti dan kelulusan pindaan perlembagaan oleh RoS yang bermakna kerajaan madani merestui kelulusan tersebut.


Takkanlah setelah beri kelulusan, kerajaan madani sendiri tidak mahu mengguna pakainya?


Kerajaan madani dan PMX dengan itu akan dilihat telus, akur kepada undang-undang dan tidak menggunakan campurtangan politik untuk memperolehi sokongan yang palsu.


Kepada “enam jahanam” berkenaan pula, jika nanti sudah diputuskan kekosongan kerusi dan perlu diadakan PRK, tak usahlah pula mereka cuba membawanya ke mahkamah untuk menegakkan benang basah.


Malulah sikit dengan anak cucu kerana cuba mempertahankan pengkhianatan dan langkah mungkar sendiri dalam politik.


Tambahan lagi, jika mereka cukup hebat dan benar-benar disayangi pengundi kononnya – apa takut – bertandinglah semula atas tiket apa sekali pun dalam PRK nanti. – ShahbudinHusin 05/04/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/04/05/kerajaan-madani-jangan-cuba-pertahan-enam-jahanam-nanti-tercemar-imej-sendiri.html