UPSEREY NEPETEY : PRESIDEN PAS TAK PERLU JADI AGENT PROVOCATEUR




1. Eloklah Presiden PAS Tan Sri Hadi Awang berhenti memomok-momokkan umat Islam di Malaysia serta membenih rasa benci terhadap Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas pembentukan Malaysia.


2. Kenyatan terbaru Tan Sri Hadi yang menuduh Perlembagaan Persekutuan sebagai bom jangka dan anti-Islam adalah satu kenyataan yang sangat tidak sihat. Kenyataan tersebut satu permainan provokasi sepertimana "Amanat Hadi" yang diisytiharkan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. "Amanat Hadi" inilah yang membawa kepada memecah-belahkan umat Islam di Malaysia.


3. Kenyataan terbaru tersebut yang cuba dikaitkan dengan kes Nik Elin adalah sangat tidak relevan. Keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang membatalkan 16 kesalahan syariah Kelantan adalah ekoran kekhilafan ahli DUN Kelantan yang meluluskan Enakmen berkenaan walaupun jelas bercanggah dengan prinsip perundangan negara.


4. Namun, ini tidak bermaksud undang-undang syariah negeri terbatal. Enakmen syariah masih boleh dikuatkuasakan dan undang-undang Islam boleh diperluaskan di mana ada keperluan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Pemisahan kuasa antara persekutuan dan negeri tidaklah menjadikan undang-undang Islam kelas kedua sedangkan pemisahan ini selaras dengan asas pembentukan dan struktur pentadbiran negara berasaskan prinsip federalisme sepertimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.


5. Ingin saya tegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah mengangkat kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di bawah Perkara 3. Perlembagaan yang sama juga menjadi asas kepada kedudukan istimewa orang Melayu, Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang didokong sehingga kini oleh seluruh rakyat Malaysia. 


6. Semua pihak harus menghormati Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin perpaduan di kalangan rakyat dan kestabilan negara. Hakikatnya Islam terus subur dalam negara ini walaupun Tan Sri Hadi terus menerus cuba menyalahkan Perlembagaan Persekutuan. Islam yang menganjurkan kaedah dakwah dengan hikmah tidak lagi menjadi panduan PAS. 


FAIZ FADZIL

23 Februari 2024



No comments: