NAK KATA APA LAGI – JHO LOW ADALAH PROKSI NAJIB, KATA SAKSI 1MBD

 

Tindakan-tindakan Low Taek Jho, atau Jho Low, dalam 1MDB membuatkan dia dilihat seperti proksi bekas perdana menteri Najib Razak, menurut bekas penasihat undang-undang syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan.

Loo berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.27 bilion terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Loo yang dahulunya individu yang dekat dengan Jho Low memberi keterangan berhubung penglibatan ahli perniagaan itu dalam keputusan kewangan 1MDB.

“Low sentiasa gunakan pengaruhnya sebagai individu yang dekat dengan perdana menteri ketika itu, Najib.

“Kebanyakan tindakannya untuk membuatkan kami melihatnya sebagai proksi perdana menteri, yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

“Kebanyakan perkara utama yang memerlukan lampu hijau daripada perdana menteri perlu dibincangkan dulu dengan Low, sebelum ia dibawa kepada Najib,” kata Loo.

Saksi pendakwaan ke-50 itu menyifatkan gaya pengurusan 1MDB sebagai “pendekatan atas ke bawah”, dengan anggota pengurusan perlu mendapatkan tanda tangan Najib untuk dokumen berkenaan pelaburan dan kewangan.

Loo berpandangan ia ekoran Perkara 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB, yang menyatakan persetujuan Najib diperlukan untuk projek penting dan utama yang memberi kesan kewangan kepada kerajaan.

Ini kerana Najib juga merupakan menteri kewangan pada masa itu, serta mengetuai Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang merupakan pemilik penuh 1MDB, katanya.

Katanya lagi, dia selaku penasihat undang-undang pada masa itu akan menyediakan Special Rights Redeemable Preference (SSRP) secara bertulis, dan dokumen itu akan diserahkan kepada Jho Low untuk mendapatkan tanda tangan Najib.

Bagaimanapun dia mengakui tidak tahu bagaimana Jho Low mendapatkan tanda tangan bekas perdana menteri itu.

Loo juga memberitahu yang bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi (gambar) menawarkannya untuk menyertai 1MDB sebagai penasihat undang-undang pada Mei 2011, meninggalkan kerjanya di UBG Group yang bergaji RM45,000 sebulan.

Dia berkata Jho Low, yang juga menjadi pengarah UBG Group, berkata yang dia tidak menghalang jika dia ingin menyertai 1MDB. 

Loo bekerja dengan UBG Group seja 1 Januari 2009 hingga April 2011.

Menurut keterangannya, dia pernah bekerja sebagai sekutu di firma guaman Zain & Co pada 2004 hingga 2008, sebelum dibawa Jho Low untuk menyertai UBG Group.

Perbicaraan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dana 1MDB.