Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerajaan Selangor akan menanggung peningkatan kos bagi lebih satu
juta rakyat susulan pelarasan tarif air mulai bulan depan meliputi 285,673
akaun yang merupakan penerima air percuma melalui Skim Air Darul Ehsan (SADE).
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu
membolehkan setiap isi rumah yang menerima manfaat SADE sebelum ini sebanyak
anggaran RM11.40 sebulan meningkat kepada RM13 sebulan.
"Kos tanggungan kerajaan negeri akan meningkat daripada RM31.8
juta kepada anggaran RM37.3 juta setahun.
"Kerajaan Negeri juga akan menanggung peningkatan bagi
rumah-rumah ibadah dan rumah-rumah kebajikan di Selangor dengan anggaran kos
sebanyak RM2 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan
pelarasan tarif air di seluruh Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan
Labuan oleh bermula pada 1 Februari 2024.
Secara keseluruhan, kata Amirudin tanggungan kos kepada kerajaan
negeri bagi pemberian air percuma melalui SADE dan penyerapan peningkatan tarif
air bagi rumah ibadah dan rumah kebajikan adalah sebanyak anggaran RM40 juta
setahun.
Jelasnya jumlah yang diperuntukkan dalam Belanjawan Selangor 2024
bagi bantuan air percuma adalah mencukupi bagi manfaat dan kemaslahatan rakyat.
Kata Amirudin pelarasan tarif air pertama sejak 18 tahun lalu
iaitu pada tahun 2006, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan
Persekutuan termasuk SPAN dengan mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan
kesan pelarasan tarif air kepada rakyat negeri Selangor.
Jelasnya Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) merupakan
penyedia perkhidmatan bekalan air terbesar di negara ini yang menyampaikan air
bersih kepada lebih 8 juta rakyat meliputi 2,661,743 akaun termasuk pengguna
domestik serta bukan domestik yang merangkumi perusahaan kecil dan sederhana
sehingga kepada perusahaan multinasional.
Jelas Amirudin susulan pelarasan tarif itu caj minimum bagi
pengguna domestik akan beralih daripada RM6 kepada RM6.50.
"Bagi rumah yang menggunakan air hingga 20 meter padu (m3),
kadar caj bagi setiap meter padu akan beralih sebanyak 8 sen iaitu kepada
RM0.65 bermula daripada 0 meter padu sehingga 20 meter padu.
"Ini bermaksud bagi rumah yang menggunakan air 20 meter padu
dan ke bawah setiap bulan, caj baharu akan meningkat maksimum sekitar RM1.60
sebulan," katanya.
Kata beliau kerajaan negeri berpendirian bahawa pelarasan ini akan
menjamin kelangsungan dan membolehkan Air Selangor mengelakkan isu paip bocor
serta paip pecah dengan menggandakan kadar penggantian paip usang daripada 150
kilometer (km) setahun kepada 300km setahun bermula tahun ini.
Tambahnya pembinaan loji rawatan air baharu akan diperkukuhkan
bagi meningkatkan margin rizab air kepada 20 peratus menjelang tahun 2030
termasuk melipatgandakan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan aset
seperti paip baharu bagi kawasan yang mengalami tekanan air rendah.
"Tahap kualiti air yang disampaikan kepada rakyat dapat terus
dikekalkan pada 99 peratus mengikut piawaian Kementerian Kesihatan dengan
penambahan pemasangan online analyser untuk memantau kualiti air,"
katanya.
Kerajaan Negeri juga membuka peluang kepada rakyat negeri yang
berpendapatan RM5,000 ke bawah dan ingin memohon untuk air percuma SADE untuk
melayari laman web https://www.airselangor.com/residential/skim-air-darul-ehsan/
bagi maklumat lanjut serta proses pemberian air percuma.