Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) tidak dibenarkan menerima pelawat.
Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman, berkata kesihatan Ahli Parlimen Marang itu semakin baik dan stabil, tetapi masih memerlukan pemantauan.
“Ayahanda tuan guru (Abdul Hadi) dijangka keluar daripada IJN dalam tempoh terdekat.
“Walaupun kesihatan ayahanda tuan guru semakin stabil dan masih memerlukan pemantauan, tetapi dia tidak dibenarkan untuk menerima pelawat,” lapor BH.
Sejak 1 Januari lalu, Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), dilaporkan berada di IJN untuk menjalani pemeriksaan jantung.
Dalam masa sama, Mohd Syahir berkata, Hadi kebetulan mempunyai prosedur rawatan di unit lain ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke IJN untuk menziarahinya, kira-kira jam 2.30 petang semalam.
“Ayahanda tuan guru secara kebetulan tidak berada di wad yang dikhaskan untuknya, sebaliknya ke unit lain kerana perlu mematuhi prosedur rawatan ditetapkan pihak IJN.
“Kita sudah memaklumkan jadual rawatan ayahanda tuan guru kepada pegawai Anwar yang menghubungi kita, kira-kira jam 12 tengah hari.
“Tetapi, Anwar tetap hadir untuk turut melawat rakannya, Prof Ziauddin, yang secara kebetulan sedang dirawat di wad lain di IJN,” katanya lagi.
Hadi, 76, sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah beberapa kali dimasukkan ke IJN untuk rawatan.
Walaupun demikian, jenis penyakit dihidapi Ahli Parlimen Marang itu tidak didedahkan kepada media.
Pada Jun tahun lalu, Hadi dimasukkan ke sebuah hospital di Kuala Terengganu.
Anak lelakinya, Khalil, berkata kesihatan ayahnya ketika itu semakin merosot, dan meminta orang ramai mendoakan agar bapanya sembuh.
Keadaan Hadi kemudiannya stabil sebelum dia dipindahkan dari Unit Rawatan Koronari (CCU) ke wad biasa sebelum dibenarkan keluar.
Sumber – https://harapandaily.com/2024/01/06/hadi-dinasihat-tidak-terima-pelawat/
https://shahbudindotcom.net/2024/01/07/ini-sebabnya-mengapa-anwar-tidak-dapat-melawat-hadi-awang-di-ijn.html