Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan mempunyai pendirian yang jelas terhadap isu Palestin selain tidak mahu ia menjadikan suhu perbezaan agama dan kaum bertukar hangat.
Perdana Menteri menjelaskan isu kezaliman Zionis bukan sekadar membabitkan umat Islam malah melibatkan soal hak asasi kemanusiaan sejagat yang perlu difahami dengan jelas.
“Ada yang bertanya mengapa kita hanya berpihak kepada Palestin, orang Islam tentunya, (dalam perkara itu) ada kejahilan kefahaman, bumi Palestin memang majoriti penduduk Islam tapi ada juga minoriti Kristian.
“…dan bila dirobohkan oleh kerajaan Zionis Israel, dirobohkan semua termasuk ratusan buah masjid dan tujuh gereja yang dimusnah sama sekali. Jadi kita harus lihat dari sudut kezaliman… ya dari sudut orang Islam, kita ada hak melihat dari sudut pandangan Islam tapi dari segi kemanusian dan negara, ia juga melibatkan orang bukan Islam khususnya Kristian.
“Harap kawan-kawan kita dari agama lain harus memberikan sokongan kerana ia soal keadilan dan kemanusiaan malah antara sarjana yang paling bijak mengupas soal ini Edward Said, dia orang Palestin, pendukung kental tetapi Kristian, dia menulis dan saya popularkan tulisannya mengenai The Politics of Dispossession (Politik Pengusiran),” katanya pada penghujung pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) di Dewan Negara hari ini.
Anwar menekankan bahawa soal Palestin adalah membabitkan masalah perampasan tanah, kerakyatan dan negara ditakluk serta dijajah.
“Malah maruah dirampas, inilah yang disebut sebagai The Politics of Dispossesion,” ujarnya.
Jelas Anwar, sebab itu negara mengambil pendirian tegas termasuk membangkitkan isu tersebut semasa sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di San Francisco, Amerika Syarikat baru-baru ini.
“Saya tahu juga keperluan dan kepentingan Malaysia, pelaburan dan kita tidak upaya melawan negara-negara besar tetapi bila mengenangkan anak-anak dan bayi terbunuh, saya tidak ada pilihan.
“Maka dalam sidang APEC itu, walaupun Presiden Joe Biden itu negara kuasa besar di hadapan saya dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), (Antony) Blinken di kanan saya dan dihadiri Presiden Xi Jinping dan semua ketua negara, saya dengan tegas menyatakan pendirian Malaysia, menyatakan hak dan kemanusiaan dan menuntut semua pihak termasuk AS menghentikan keganasan segera.
“Saya sebut satu hari tambahan (serangan) ribuan wanita dan kanak-kanak akan dibunuh, saya kata tidak munasabah bagi AS dan Barat untuk menuntut kita mengutuk Russia kerana menyerang sebahagian Ukraine tapi memaafkan Israel bila menakluki Palestin. Saya fikir itu juga suara hampir seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Terdahulu, Anwar berkata Wisma Putra kini telah menunjukkan peningkatan profilnya di arena antarabangsa sekali gus mendorong kerajaan meningkatkan peruntukan kepada RM1.27 bilion pada tahun depan berbanding sebelum ini RM971 juta.