PMX BERSAMA PIMPINAN OIC DAN BERTEMU PRESIDEN IRAN

 







Saya telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Republik Islam Iran TYT Seyyed Ebrahim Raisi, di sela-sela Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-8 antara Negara-Negara Liga Arab dan Negara-Negara OIC bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Zionis Israel terhadap Palestin. 


Dalam pertemuan yang penuh bermakna ini, kami sebulat suara bersetuju agar kekejaman oleh Israel terhadap Palestin perlu dihentikan segera. 


Kami juga mendukung segala usul yang dibawa oleh OIC termasuk paling penting proses gencatan senjata oleh Israel dilakukan serta-merta. 


Kami juga turut menggesa supaya bantuan kemanusiaan yang lebih banyak dibawa masuk ke Palestin bagi membantu mereka yang memerlukan dan mahukan OIC memainkan peranan yang lebih besar khususnya dalam melibatkan isu kemanusiaan sejagat.


Semasa pertemuan ini, kedua-dua pihak telah menyatakan kesediaan untuk mempertingkatkan hubungan dua hala termasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi serta meneroka peluang kerjasama baharu. 


Presiden Iran menyambut baik langkah Malaysia untuk mempertingkat hubungan dua hala serta menyatakan Malaysia dan Iran sebagai dua buah negara yang berpengaruh, perlu memainkan peranan yang besar dalam dunia Islam. 


Dalam pertemuan ini, kami turut memanjangkan jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara masing-masing.


Saya juga mengulangi komitmen untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) di antara kedua-dua negara bagi memperhalusi pelbagai bidang kerjasama. 


Pada tahun 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Iran ialah sebanyak RM3.68 bilion (meningkat sebanyak 40.2% dari tahun 2021) dan kelapa sawit merupakan produk utama perdagangan Malaysia dan Iran.


#MalaysiaMADANI


No comments: