Felo Perdana platform anak muda timba ilmu kepimpinan - PM


 Program Felo Perdana merupakan pendedahan kepada anak muda dalam aspek kepimpinan dan budaya kerja dalam sektor kerajaan, kata Perdana Menteri.


Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Felo Perdana di Bangunan Perdana Putra pada Rabu berkata, peserta dipilih khas dari kalangan anak-anak yang mempunyai prestasi baik dan cemerlang untuk memperoleh manfaat sebaiknya sebagai persiapan bagi pimpinan masa.


Katanya, program itu menjadi platform terbaik untuk memberi ruang kepada para peserta memahami dan menimba pengetahuan berhubung pelaksanaan dasar-dasar yang dibangunkan kerajaan.


"Peserta program ini dapat mengenali bukan sahaja sosok pimpinan, tetapi lebih penting hala kerja tradisi dan budaya di kerajaan.


"Pendedahan ini memberi ruang lebih kepada mereka untuk memahami dasar-dasar (kerajaan) dan saya percaya dapat menimba pengalaman dan pengetahuan. Itu sangat penting," katanya.


Bagi edisi kesepuluh tahun ini, seramai 56 orang Felo dipilih dan akan memulakan tugas mulai 23 Ogos sehingga 31 Disember depan.


Felo Perdana merupakan program berbentuk mentor dan latihan industri dengan matlamat melahirkan golongan belia yang dinamik, berdaya saing, mempunyai pengetahuan relevan berkaitan sistem pentadbiran negara.


Ini termasuk untuk bersedia menghadapi cabaran pada masa akan datang selaras dengan aspirasi di bawah kerangka Malaysia Madani.


Melalui program ini, Felo akan mendapat bimbingan dan menimba pengalaman berkhidmat secara terus daripada Ahli Jemaah Menteri dengan nisbah dua orang bagi setiap Ahli Jemaah Menteri dan seorang bagi Ketua Setiausaha Negara (KSN).


Felo yang dipilih perlu melalui proses pemilihan yang teliti dan mengikuti sesi orientasi ditetapkan bagi tujuan pendedahan terutamanya melibatkan tatacara dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh seorang pegawai berkhidmat di dalam perkhidmatan awam.