PM kecewa hanya 1 mesin pengimbas kastam di KLIA berfungsi



Anwar Ibrahim berkata pegawai terbabit harus turun padang melihat masalah itu.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kecewa apabila lawatan mengejutnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam mendapati hanya satu daripada tujuh mesin pengimbas kastam beroperasi.

Anwar berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku dan mendesak pegawai agensi terbabit turun padang untuk melihat permasalahan di bawah.

“Kebetulan (saya) menteri kewangan, kastam bawah tanggungjawab saya. Takkan nak tunggu menteri turun baru nak tahu rosak,” katanya berucap pada majlis perhimpunan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri.

“Ini ada kelemahan dari segi maklumat, kalau belanja sekitar beberapa juta kita boleh luluskan segera dan saya percaya SPRM takkan siasat semata-mata luluskan segera kerana keadaan mendesak.”

Semalam, Anwar mengadakan lawatan mengejut di KLIA untuk meninjau operasi imigresen di pintu masuk negara itu.

Lawatan itu dipercayai susulan kekecohan di KLIA baru-baru ini membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing yang mengakui individu ditularkan bagi membantu seorang warga China yang ditahan daripada memasuki Malaysia.

Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa “kronik” di pintu masuk negara.