Himpunan Perpaduan Silat Melayu Se-Paya Jaras rapatkan perguruan silat
Himpunan perguruan silat di DUN Paya Jaras yang julung kalinya
diadakan semalam telah berjaya merapatkan pengamal seni persilatan di DUN
berkenaan dan di Selangor amnya.
Menurut Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman,
majlis tersebut yang dianjurkan di bawah Exco Pembangunan Generasi Muda &
Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor telah mendapat kerjasama baik
daripada Pertubuhan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Negeri Selangor serta
beberapa pertubuhan seni silat lain.
"Matlamat program ini bertujuan merapatkan pelbagai perguruan
seni silat sebagai komitmen untuk mengangkat martabat persilatan Melayu, di
samping memberi pendedahan serta menggalakkan belia bergiat dalam seni bela
diri yang telah dianggap sebagai salah satu ‘benteng utama’ pertahanan negara.
"Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti Senam Tari
Silat, Acara Pertandingan Silat dan Himpunan Persembahan Silat yang melibatkan
hampir seramai 2,000 pesilat dari pelbagai aliran perguruan utama termasuk Seni
Silat Cekak, Silat Lincah, Silat Gayong dan Silat Abjad," katanya dalam
satu kenyataan.
Menurut Khairuddin lagi, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam
memberi sokongan kepada segala aktiviti dan program pertubuhan-pertubuhan seni
silat Melayu, khususnya yang melibatkan penyertaan para belia.
Sehubungan itu, katanya, sumbangan berupa mock cek berjumlah RM
6,000 turut juga diserahkan dalam himpunan berkenaan. Di samping Kerajaan
Negeri juga, katanya, akan mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan untuk
menjadikan seni silat sebagai sebahagian daripada aktiviti ko-kurikulum di
sekolah.
"Semoga penganjuran program ini dapat berfungsi sebagai satu
platform terbaik Kerajaan Negeri untuk terus menjalinkan kerjasama dengan
persatuan mahupun perguruan-perguruan seni silat Melayu dalam merancakkan
aktiviti, sekaligus, menyediakan peluang kepada para belia untuk mengasah bakat
demi pembangunan akar umbi dan seterusnya mampu menyumbang kepada kecemerlangan
seni silat di negeri Selangor," katanya lagi.
Himpunan Perpaduan Silat Melayu Se-Paya Jaras itu diadakan di
Padang Awam Aman Putri, Paya Jaras, Sungai Buloh yang bermula pada pukul 9.00
pagi hingga 3.00 petang.