Kelantan digesa ‘bersihkan’ AKSB sebelum minta dana pusat
Kerajaan Negeri Kelantan digesa ‘membersihkan’ pengurusan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) terlebih dahulu sebelum memohon bajet berjumlah RM8 bilion dari Kerajaan Persekutuan.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, masalah bekalan air di negeri itu sudah membelenggu penduduk sejak berpuluh tahun dan ‘pembersihan’ dalam AKSB perlu dijalankan bagi memastikan pembaharuan dalam tadbir urus akan menjadi lebih berkesan.
“Mereka (Kerajaan Negeri) masih mengekalkan pengurusan yang gagal sambil mengharapkan keputusan berbeza.
“Untuk makluman, sebelum Perjanjian Migrasi Air 2016 Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan sebanyak RM777 juta dari kelulusan RM816 juta.
“Saya yakin sumber kewangan itu berterusan hingga sekarang,” katanya dipetik.
Khamis lalu media melaporkan, Kelantan memohon dana berjumlah RM8 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah air yang berlarutan di negeri itu.
Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian berkata, kerajaan belum bersetuju dengan jumlah itu dan perlu meneliti masalah tersebut termasuk pengurangan kos sebelum keputusan boleh dibuat.
Sementara itu, tambah Mohf Azwami, walaupun sudah ada usaha dilakukan Kerajaan Persekutuan bagi menangani isu tersebut, ia dakwanya gagal susulan amalan nepotisme dan ketidakcekapan.
Berpandukan jawapan diberikan oleh Kementerian Air dan Alam Sekitar (Kasa) sebelum ini, jelas AKSB gagal menunjukkan prestasi diharapkan dalam membekalkan air bersih kepada penduduk di negeri itu.
“Apa yang berlaku dalam AKSB itu perlu diberi perhatian sebelum kerajaan menyalurkan bajet yang besar. Bagaimanapun, kami (Pemuda UMNO Kelantan) menyokong permohonan untuk memulihkan bekalan air di negeri ini,” ujarnya.