Anwar Ibrahim
Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg atas jemputan menghadiri Seminar Antarabangsa Imam As-Syafi’i 1444H / 2023M hari ini.
Inisiatif Kerajaan Sarawak menganjurkan seminar ini menunjukkan pimpinan negeri cakna kepada kepentingan perubahan semasa, cabaran baru dan pada yang sama tetap berakar kepada tradisi, budaya dan keyakinan agama.
Dalam ucapan tadi saya singgung kekuatan Imam As-Syafi’i dalam meneroka pemikiran baru dengan memahami realiti masyarakat setempat dalam mengeluarkan pandangan hukum yang dikenali dengan qawl qadîm (pendapat yang dikeluarkan semasa beliau di Iraq) dan qawl jadid (pendapat semasa beliau berada di Mesir).
Selain mendalami pemikiran dan sumbangan Imam As-Syafi’i, saya juga menyarankan agar sumbangan ulama tempatan seperti Shaykh Uthman Sarawak, ulama kelahiran Sarawak wajar diwacanakan agar menjadi inspirasi kepada anak muda kelak.
Begitu jua khazanah lama rantau ini harus digali dan didalami kandungannya sebagaimana kitab ‘Munyatul Musalli’ (impian orang yang bersolat) karya Shaykh Daud bin Abdullah al-Fatani yang menyentuh mengenai kepemimpinan dan keadilan supaya bermanfaat khususnya untuk para pemimpin dan masyarakat awam.
#MalaysiaMADANI