PESAING, PEMBENCI ANWAR JUGA PATUT BUAT FILEM ‘UNTOLD STORY’ MASING-MASING


Filem Anwar – The Untold Story yang mengisahkan liku-liku perjuangan Presiden PKR itu dalam politik negara yang tayangan perdananya diadakan dua hari lalu, secara umumnya mengundang dua respon terbuka di media sosial.

Filem itu dibikin sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri lagi dan akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 18 Mei ini.

Bagi penyokong dan mereka yang terlibat dalam gerakan reformasi sejak 1998, terbitnya filem itu tentunya suatu kebanggaan dan dokumentasi kejayaan yang amat mengharukan.

Ditambah dengan tayangannya setelah Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri, semacam sudah terbayar segala derita selama ini.

Anwar sendiri menyebut filem tersebut adalah kenangan pahit yang sebenarnya ingin dilupakannya kerana sebahagian detiknya melukakan jiwa dan keluarganya, lalu beliau tidak mampu mengulas panjang mengenainya.

Selain Anwar pasti sebak ketika menontonnya, rata-rata penyokong, pendokong dan mereka yang terlibat dengan gerakan reformasi juga tentu sedemkian perasaan yang datang menerpa.

Bagi yang tidak menyokong, malah membenci Anwar, respon mereka jelas terlihat penuh dengan cercaan dan sindiran yang seolah-olah filem itu tidak bernilai sama sekali.

Pelbagai elemen sindiran, kecaman dan kutukan diolah untuk memburukkan filem itu, walaupun mereka belum lagi menontonnya.

Sebagaimana Anwar bukanlah manusia sempurna, menggarap sebuah filem daripada liku-liku perjuangan beliau yang lamanya lebih 20 tahun pasti juga jauh daripada kesempurnaan.

Memendekkkan beribu detik perjuangan dalam tempoh lebih 20 tahun kepada sebuah filem yang hanya selama 90 minit bukanlah suatu kerja yang mudah.

Melakukan penyelidikan, memikir dan memilih detik-detik yang harus djadikan babak filem saja boleh mengundang serabut serta pening kepala.

Tetapi, yang tidak dinafikan ialah Anwar memang seorang tokoh politik yang ada daya tarikan untuk kisahnya difilemnya, terutama dari segi semangat, kekuatan jiwa dan kentalnya mempertahankan perjuangan yang diyakininya.

Seperti kuatnya semangat beliau mahu terus hidup setelah dipukul setengah mati dan dibiar tanpa rawatan beberapa hari dalam lokap polis ketika awal penahanannya dahulu, begitulah juga kuat semangatnya untuk memastikan PKR dan perjuangan reformasi tidak mati, di sebalik banyak cabaran, dikhianati dan ditinggalkan kawan sepanjang meniti jalan perjuangan.

Pemimpin lain, meskipun ada liku perjuangan masing-masing yang berbeza, tiada yang melalui cabaran dan dugaan sehebat Anwar.

Paling menarik sekali, di sebalik semua cabaran, tentangan dan pengkhianatan yang dihadapinya, beliau akhirnya berjaya menjadi Perdana Menteri.

Pemimpin lain, sementara ramai yang kecundang dalam mengejar cita-cita, yang berjaya jadi Perdana Menteri pula ada di antaranya seperti tidak melalui apa-apa perjuangan yang bukan saja tidak pernah keluar darah, malah peluh pun semacam tidak menitik.

Maka itu, menjadikan filem daripada kisah perjuangan Anwar adalah sesuatu yang tepat sebagai teladan dan untuk rangsangan kepada generasi mendatang.

Boleh saja untuk sesiapa mencerca, mengutuk dan melontarkan sindiran, tetapi jangan lupa, Anwar memang subjek yang menarik dan ada isi untuk difilemkan.

Begitu pun, sebagai jalan sihat dalam persaingan dan mengambil kira kisah perjuangan Anwar yang difilemkan ketika beliau masih lagi hidup, pemimpin-pemimpin lain yang sedang bersaing, berlawan dan membenci Pengerusi PH itu seharusnya juga ada keinginan untuk memfilemkan kisah perjuangan mereka bagi tontotan penyokong dan rakyat seluruhnya.

Kalau tidak ada produksi yang sanggup keluar modal, mereka sendiri pun atas kekayaan peribadi atau melalui kutipan derma daripada penyokong pasti berupaya membiayai kosnya.

Kemudian, sebagai perbandingan dengan filem Anwar – The Untold Story – cuba lihat pula bagaimana bentuk ceritanya dan apa pula agaknya respon rakyat atau netizen – sekadar membayangkan – andainya kisah ‘untold story’ Tun Mahathir Mohamad, Mahiaddin Md Yasin atau Hadi Awang dijadikan filem? – ShahbudinHusin 10/05/2023.

https://shahbudindotcom.net/