·
Beginilah contoh ulamak yg benar.
------------------------
Haji Nawawi Janggut Merah Yang Lulus!
Terdapat suatu kisah, di mana Sultan Iskandar Shah, iaitu Sultan
Perak yang ke tiga puluh telah menjemput seluruh ulama terkemuka di negeri
Perak untuk berbuka puasa di istananya di Bukit Chandan, ketika bulan Ramadhan.
Maka ramailah para alim ulama yang hadir demi memenuhi jemputan
daripada baginda Sultan.
Diceritakan, ketika di saat hampir waktu berbuka, baginda Sultan
Iskandar Shah telah menitahkan semua para tetamu yang hadir supaya berbuka dan
menjamah makanan, sedangkan pada waktu itu belum lagi masuk waktu maghrib.
Semua para tetamu yang hadir kehairanan dan mendiamkan diri
kerana tidak berani membantah titah tersebut. Di dalam suasana kehairanan itu
tiba-tiba seorang ilmuan berdiri lalu bersuara, “Kalau tuanku hendak masuk
neraka, masuklah seorang!”.
Semua para tetamu yang terdiri dari kalangan ulama tergamam
dengan tindakan ilmuan itu, kerana yg ditegurnya adalah baginda sultan, selaku
Raja bagi negeri Perak.
Akhirnya baginda Sultan Iskandar Shah memuji tindakan ilmuan
tersebut kerana berani menegur titahnya. Ilmuan tersebut merupakan guru agama
kepada baginda sultan Perak, iaitu Haji Nawawi bin Haji Tahir atau lebih
dikenali sebagai Hj Nawawi Janggut Merah.
Sebaliknya
baginda sultan menegur dan memarahi alim ulama yg mendiamkan diri, lalu baginda
mengeluh dengan berkata, “Nasib baiklah di Perak ini masih ada lagi orang yang
berani menegur beta.”