Sejak beberapa hari lalu, ada orang-orang lama dalam PKR meminta saya menghentam seorang menteri yang baru-baru ini berucap dalam nada marah-marah mengingatkan ahli parti itu agar jangan bercakap soal jawatan, elaun, ghanimah dan seumpamanya.
Kata beliau, PKR bukan berjuang kerana poket, kocek atau projek kerana ia bukan DNA parti itu.
Sambil mengambil contoh dirinya yang tidak pernah meminta-minta jawatan sebagai menteri, beliau mengingatkan PKR lahir di jalan raya dan tidak harus menjadikan perkara itu sebagai kebiasaan dalam perjuangan.
Orang-orang lama PKR itu meminta saya berbuat demikian kerana bukan kali pertama menteri berkenaan berucap sedemikian rupa.
Sebelum itu, dalam satu program lain, beliau juga bercakap dengan isi dan nada yang hampir sama.
Dengan itu, mereka benar-benar berasa tersinggung dan kecil hati, tambahan lagi watak beliau sebelum jadi menteri tidaklah sebegitu.
Memanglah sebelum ini, saya banyak menghentam, mengkritik dan membalun pemimpin yang pernah menjadi Perdana Menteri, bermula daripada Najib Razak, Tun Mahathir Mohamad, Mahiaddin Md Yasin hinggalah kepada Ismail Sabri Yaakob, malah Perdana Menteri semasa, Anwar Ibrahim pun saya ada beberapa kali mengkritik juga, terutama berkaitan perlantikan Nurul Izzah sebagai penasihar kanan, tetapi dalam kes menteri berkenaan, saya sejujurnya agak kurang stim untuk menghentam beliau.
Ini kerana beliau masih baru jadi menteri dan barangkali sedang tercari-cari identiti bagaimana untuk memposisikan diri dan emosinya agar kelihatan berwibawa dan benar-benar sebagai orang berjawatan besar.
Begini sajalah, saya sekadar ingin memberi pesanan – seseorang itu berjaya menjadi pemimpin atau menteri bukan kerana dia pandai atau hebat, tetapi kerana disokong oleh ahli-ahli parti, selain disebabkan sokongan rakyat.
Di luar sana, lebih ramai lagi yang hebat dan cerdik, cuma mereka tidak berminat dengan politik atau tidak menyertai parti politik.
Namun, sokongan rakyat semata-mata tidak memadai untuk seseorang itu menjadi menteri kalau bukan kerana ahli-ahli parti yang bekerja kuat dan berkempen untuk mereka.
Jadi, janganlah dimarah-marah ahli parti bila kita sudah jadi menteri, berpakaian lawa, ada drebar dan bergaji lima puluh atau enam puluh ribu setiap bulan.
Bila jadi pemimpin, kita mesti bersikap pemurah dan ada sifat rahmah atau kasih sayang, sesuai dengan rezeki kita yang bertambah itu.
Dalam Islam sendiri pun, Tuhan suka dengan hambaNya yang pemurah, bersikap rahmah terhadap orang susah dan tidak lokek dalam memberi pertolongan.
Sebaliknya Tuhan amat benci kepada hambaNya yang kedekut, bakhil dan berkira.
Dalam Islam juga, apabila kita kaya atau berlebih rezeki, paling afdal dibantu ialah keluarga terdekat dan saudara mara sendiri.
Dalam kes seorang pemimpin yang menjadi menteri, ahli parti yang selama ini menyokong dan mengangkat mereka, kelompok itu seumpama keluarga terdekat dan saudara mara kepada mereka.
Kalau ada yang minta tolong dari segi kewangan untuk hadir mesyuarat misalnya, ia biasanya hanyalah daripada kalangan yang benar-benar dekat dengan menteri berkenaan dan sudah tentu pula betul-betul tidak cukup wang.
Jumlah mereka yang meminta itu pun tidak mungkin ramai, orang jauh mustahil berani buka mulut bercakap soal elaun atau kewangan dengan menteri.
Jadi, apalah salahnya, sesuai dengan rezeki sebagai menteri yang tiba-tiba bertambah jadi lima puluh atau enam puluh ribu sebulan itu, lalu dihulur barang seratus dua kepada mereka.
Jatuh miskinkah seorang menteri dengan memberi sedikit wang seperti itu?
Menteri pun kalau ada urusan atau mesyuarat di luar kawasan, mereka juga claim macam-macam elaun daripada kerajaan.
Ada tak menteri yang tak claim elaun?
Pokoknya, dengan bersikap pemurah dan ada sifat rahmah, seseorang pemimpin atau menteri itu bukan saja disayangi rakyat, bahkan sentiasa dalam peliharaan cinta Tuhan.
Kalau ingin kedekut, berhentilah jadi pemimpin dan pilih saja jadi pengikut.
Apa yang seseorang pemimpin atau menteri perlu faham juga ialah politik ini tidak ubah seperti cinta – berjuang melalui politik tanpa wang, hanya bersandarkan semangat semata-mata, memang kerapkali membuahkan kejayaan sehingga berjaya menubuhkan kerajaan.
Dalam cinta juga begitu, ramai orang berjaya memenangi cinta sehingga terbina mahligai impian dalam keadaan tiada apa-apa, cukup sekadar dengan ayat-ayat menggoda yang menggelikan telinga.
Tetapi, setelah kerajaan terbina atau mahligai cinta dibina, untuk mempertahankannya sudah tentu tidak cukup dengan semangat dan kata-kata saja.
Tanpa wang, cinta boleh melayang dan kerana kedekut wang, kerajaan juga boleh tumbang.
Setelah parti berjaya menjadi kerajaan, jangan salahkan atau marah kepada ahli yang mula melihat aspek habuan, jawatan, ghanimah atau projek.
Semua itu adalah suatu kebiasaan yang perlu ditangani dengan bijaksana, tapi janganlah marah-marah secara terbuka.
Bila kita jadi menteri, jangankan ahli parti yang berubah permintaan, isteri sendiri pun seleranya mula bercabang-cabang.
Sebab itu, dalam parti lain, waima Pas sekali pun, bila mereka jadi kerajaan, pemimpinnya tidak pernah marah-marah kepada ahli-ahlinya agar jangan minta jawatan, kedudukan, ghanimah atau sebagainya.
Malah, ramai yang diberikan nikmat jawatan dalam kerajaan berdasarkan hireaki dan keutamaan, akhirnya mereka inilah seterusnya yang menjaga ahli-ahli di periingkat bawahan demi menguatkan lagi kedudukan parti.
Seseorang menteri seharusnya malu untuk bersikap marah atau memberi amaran agar ahli bawahan jangan bercakap soal poket, kocek atau projek setelah parti berjaya menjadi kerajaan.
Setiap kementerian diberi peruntukan tahunan untuk melaksanakan pelbagai projek untuk rakyat.
Jika ada ahli parti yang berkelayakan dan cukup syarat untuk menyertai projek tersebut, apa salahnya dibantu mereka yang berkenaan?
Menyokong atau memberi projek kepada ahli parti bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mempunyai konflik kepentingan sebagaimana membantu syarikat adik-beradik, anak dan menantu sendiri.
Tidak salah menggunakan kuasa membantu ahli parti memperolehi projek, asal saja jangan menyalahgunakan kuasa.
Lagi pun, dengan ahli parti memperolehi projek dan kukuh poket atau koceknya, mereka itulah yang akan berperanan mengukuhkan parti dan membantu bila pilihan raya diadakan.
Begitulah cara untuk menjadikan parti mampu kekal bertahan sebagai kerajaan.
Apakah seorang menteri lebih rela semua projek di kementeriannya dibolot oleh ahli perniagaan yang tidak berjiwa parti?
Tak cerdik sangatlah bila jadi menteri, tapi projek, jawatan dan ghanimah semua mahu diberikan kepada bukan ahli parti yang tidak pernah berjuang, tidak pernah menyokong, malah tak pernah menyebut walau sepatah perkataan pun tentang parti sendiri.
Bila tiba PRU nanti atau jika nasib lebih buruk, kerajaan tumbang di tengah jalan, siapa yang akan meneruskan perjuangan? – ShahbudinHusin 01/03/2023.